Naib Ketua AMK Sabah merangkap Ketua AMK Penampang Eldridge Laurence Timis.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, menarik balik kenyataannya yang didakwa menjadikan paderi dan biarawati Katolik sebagai bahan jenaka berunsur seksual ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Dalam masa yang sama, Naib Ketua AMK Sabah merangkap Ketua AMK Penampang Eldridge Laurence Timis, turut mendesak Noorazli memohon maaf secara terbuka kepada umat Katolik, seluruh masyarakat Kristian serta rakyat Sabah dan Sarawak.

“Perkara ini tidak wajar, menyinggung perasaan dan merendahkan martabat sebuah agama yang dianuti sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak. Ia juga bertentangan dengan semangat hormat-menghormati yang menjadi asas Persekutuan Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tegas Eldridge, agama, kitab suci dan institusi keagamaan tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak, analogi atau sindiran, lebih-lebih lagi ketika disampaikan di pentas rasmi parti politik.

Tambah beliau, prinsip saling menghormati perlu dipelihara dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Agama adalah urusan suci. Kitab suci, paderi, biarawati dan institusi keagamaan mana-mana umat tidak boleh dijadikan bahan lawak lebih-lebih lagi di pentas perhimpunan parti politik utama negara.

“Sama ada dimaksudkan sebagai jenaka, analogi atau sindiran, ia tetap suatu perbuatan mempertikaikan dan merendahkan agama orang lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan UMNO supaya memahami tanggungjawabnya sebagai parti politik yang pernah dan masih memegang peranan dalam pemerintahan negara, terutama dalam menjaga keharmonian masyarakat majmuk.

Eldridge berkata, perkara itu lebih serius apabila UMNO pada masa sama berusaha mendapatkan keyakinan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Malaysia bukan milik satu bangsa atau satu agama. Pentas PAU bukan ruang peribadi. Apa yang diucapkan di situ menjadi tanggungjawab parti, bukan semata-mata ‘pandangan peribadi’ seorang perwakilan,” katanya.

“Parti yang pada minggu sama meminta keyakinan Sabah dan Sarawak tidak boleh pada masa yang sama mempersenda agama sebahagian besar rakyat di kedua-dua wilayah itu,” katanya.

Terdahulu, kontroversi itu tercetus selepas Noorazli ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada PAU 2026 menceritakan kisah seorang paderi dan biarawati yang menaiki sebuah kereta Proton Saga manual.

Dalam cerita itu, Noorazli mendakwa tangan paderi berkenaan tersentuh paha biarawati ketika menukar gear sebelum biarawati tersebut merujuk kepada Mazmur 129 dalam Bible.

Beliau kemudian menjadikan cerita tersebut sebagai analogi berkaitan fokus dan usaha mencapai sesuatu matlamat.

Ucapan itu bagaimanapun mencetuskan kecaman kerana dianggap tidak sesuai dan menyentuh sensitiviti penganut Kristian termasuk daripada pemimpin politik serta pertubuhan berkaitan.

Noorazli kemudiannya menyatakan kesediaan memohon maaf sekiranya ucapannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan khususnya dalam kalangan penganut Kristian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here