Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez

KUALA LUMPUR – DAP perlu berhenti berlagak seperti pembangkang kerana parti itu kini sebahagian daripada kerajaan dan mempunyai kuasa untuk membawa sesuatu isu daripada sekadar kenyataan kepada tindakan.

Exco Pemuda UMNO, Azman Azeez berkata, rakyat semakin melihat satu corak apabila pemimpin DAP kerap tampil mengeluarkan kenyataan, mendesak penjelasan daripada pihak lain dan meminta institusi mengambil tindakan

Tetapi pada masa sama seolah-olah lupa bahawa mereka sendiri berada dalam Kerajaan Madani.

“Kalau masih pembangkang, tidak mengapa untuk setiap hari keluarkan kenyataan mendesak kerajaan menjawab itu dan ini. Tetapi DAP bukan lagi pembangkang.

“DAP berada dalam Kabinet. Gobind (Singh) seorang menteri. Jadi rakyat berhak bertanya, mengapa masih berlagak seperti pembangkang?

“Kalau ada isu yang mahu diselesaikan, gunakan kuasa yang ada dan tunjukkan hasil,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Azman berkata, tidak menjadi masalah untuk mana-mana pemimpin meminta penjelasan daripada institusi berkaitan kerana perkara itu adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang.

Namun budaya politik yang hanya berhenti pada kenyataan media tidak memadai apabila pemimpin berkenaan sendiri mempunyai kedudukan dalam kerajaan.

“Setiap hari ada kenyataan. Ada yang mahu Peguam Negara menjelaskan keputusan, ada yang mahu polis menyiasat, ada yang bercakap mengenai akauntabiliti dan double standard.

“Persoalannya selepas kenyataan itu keluar, apa tindakan? Apa hasilnya? Rakyat mahu melihat penyelesaian, bukan sekadar tajuk berita,” tegasnya.

Mengulas kenyataan RSN Rayer mengenai isu membabitkan perwakilan UMNO, Azman berkata, sebarang laporan polis wajar disiasat berdasarkan undang-undang dan bukti tanpa mengira siapa yang terlibat.

“Kalau ada laporan, biarlah polis menjalankan siasatan. Kalau terdapat kesalahan, ambil tindakan mengikut undang-undang. Itu proses yang kita semua perlu hormati.

“Jangan pula setiap kali berlaku sesuatu isu, DAP tampil mendesak seolah-olah mereka berada di bangku pembangkang. Mereka adalah sebahagian daripada kerajaan,” katanya lagi.

Azman berkata, DAP juga perlu bersedia menerima persoalan sama yang sering dilemparkan kepada pihak lain terutama mengenai akauntabiliti dan hasil kerja.

“Kalau mereka mahu pihak lain menjelaskan tindakan masing-masing, mereka juga perlu bersedia menjelaskan kepada rakyat apa yang telah dilakukan dengan kuasa yang mereka ada.

“Jangan hanya pandai meminta orang lain bertanggungjawab, tetapi apabila tiba masa untuk menjawab mengenai hasil kerja sendiri, semuanya berakhir dengan kenyataan,” ujar beliau.

Menurutnya, rakyat tidak mendapat manfaat hanya kerana seorang Menteri atau pemimpin politik mengeluarkan kenyataan yang tegas melalui media.

“Rakyat tidak makan kenyataan media. Rakyat mahu masalah diselesaikan.

“Kalau isu kos sara hidup, pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan kebajikan masih memerlukan tindakan, gunakan kedudukan dalam kerajaan untuk selesaikan. Jangan setiap kali muncul di media hanya untuk mendesak orang lain,” katanya.

Azman berkata, sudah tiba masa DAP menunjukkan perbezaan antara menjadi pembangkang dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here