PUTRAJAYA – Rata-rata rakyat mahu kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) supaya terus agresif merencanakan agenda mensejahterakan rakyat yang dibelenggu kenaikan kos sara hidup.
Seorang guru sekolah antarabangsa, Arfah Jaafar, 26, berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan penyampaian kerajaan PH selepas membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu namun percaya masih banyak ruang untuk memperbaiki perkhidmatan.
“Tiada kerajaan yang sempurna di mana-mana negara termasuk untuk negara kita sayangi tetapi jangan jadikan ia sebagai alasan sebaliknya terus komited membangunkan negara dan konsisten dengan agenda pemerkasaan taraf hidup dan kebajikan rakyat berbilang kaum.
“Rakyat memberi kepercayaan untuk kerajaan baharu ini membawa perubahan dalam masa depan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Arfah yang merupakan guru bahasa Inggeris menyatakan keterujaan menyaksikan sendiri sambutan Hari Kebangsaan pertama kali di Putrajaya.
Katanya, beliau pernah menyambut hari bersejarah itu di Dataran Merdeka tetapi menyifatkan sambutan di Putrajaya lebih unik.
“Saya mahu kerajaan baharu ini menjadikan Putrajaya sebagai venue tetap sambutan Hari Kebangsaan pada tahun-tahun akan datang.
“Tempat pun luas, sehingga menampung kehadiran ramai pengunjung yang saya rasa hari ini mencecah ratusan ribu orang begitu bersemangat mengibarkan bendera dengan sorakan,” katanya.
Dalam pada itu seorang peniaga dari Subang, C. Rajendran (gambar bawah) turut bersemangat meraikan Hari Kebangsaan di Putrajaya kerana sebelum ini meraikannya di Dataran Merdeka lebih 15 kali bersama keluarganya yang selalu tampil dengan pakaian Jalur Gemilang.

Beliau yang mencuri tumpuan awam berkata, sambutan di Putrajaya lebih unik kerana tempat yang luas dan panjang memuatkan ramai pengunjung.
“Bagaimanapun hati saya masih bersama Dataran Merdeka yang sinonim dengan kemeriahan merdeka sejak lebih lima dekad walaupun tidak seluas Putrajaya.
“Selain itu saya ada pesanan khas untuk kerajaan baharu ini supaya jangan lupakan tiga perkara iaitu hapus tol, kurangkan harga petrol dan gaji minimum. Kami memilih anda untuk tiga perkara ini dan tunaikan janji itu.
“Kami sanggup menunggu tetapi jangan kecewakan kami seperti kerajaan terdahulu,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















