BERA – Kepulan asap kemeyan di pintu gerbang Kampung Orang Asli Kuin dan Lengot di sini menarik perhatian wartawan MalaysiaGazette.
Namun menurut penduduk kampung, ia merupakan sebahagian amalan tradisi masyarakat setempat dan dilakukan sebagai simbolik bahawa tradisi turun temurun tidak dilupakan semasa mereka menghadapi keresahan susulan isu tanah dan kemungkinan dipindahkan ke lokasi baharu.
Rosman Abi, 67, berkata, semua penduduk kampung ketika ini sedang berdepan kebimbangan susulan mengenai notis pengosongan yang diterima sebelum ini dan masa depan penempatan mereka yang sudah dihuni lebih seabad lalu.

“Adat membakar kemenyan ini adalah untuk menghalang syaitan dan iblis, bila kita dalam. ramai-ramai ini dalam kita punya kepercayaan ramai yang menggangu seperti makhluk halus.
“Jadi kita bakar kemenyan di depan pintu gerbang ini, kerana kita tidak mahu perkara buruk berlaku dan menjadi penguat semangat kepada orang kampung dan tidak kental mengharungi semuanya bersama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ujarnya selain kemenyan penting bagi pihak lain menghorhomati Tok Batin bagi setiap kepimpinan komuniti masyarakat orang Asli.
Penduduk menegaskan mereka mahu adat serta cara hidup masyarakat Orang Asli dihormati, sama seperti mereka menghormati pihak luar yang datang ke kawasan mereka.
“Kita nak buat apa-apa, kita akan jumpa Batin dahulu. Batin adalah orang terhormat bagi kaum Orang Asli.
“Sebolehnya kami mohonlah, hormat Orang Asli, hormat adat. Kita masuk tempat orang, kita hormat. Orang luar masuk tempat kita, orang luar kena hormat kita,” katanya.
Bagi penduduk, adat dan penghormatan terhadap kepimpinan Tok Batin perlu menjadi asas dalam sebarang urusan pihak luar yang membabitkan kampung serta tanah yang menjadi tempat tinggal dan sumber kehidupan mereka.
Ia lebih meresahkan penduduk kerana sehingga kini masih kabur dengan status masih belum dapat dipastikan selepas pihak berkuasa didakwa memasuki kawasan kampung dan meletakkan notis pengosongan di kebun-kebun penduduk sejan Jun lalu.
Keadaan itu didakwa menyebabkan penduduk tidak dapat mengeluarkan hasil tanaman, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Juliawati Jasni, 29 tahun, berkata penduduk tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu sebarang tindakan berkaitan kampung dilakukan melalui perbincangan dan rundingan bersama pemimpin adat.
Katanya, masyarakat Orang Asli mempunyai adat tersendiri yang menetapkan pihak luar perlu terlebih dahulu bertemu Tok Batin sebelum menjalankan sebarang aktiviti di kawasan komuniti.
“Bayangkan orang datang tiba-tiba masuk tanpa notis dan mereka tidak jumpa Batin.
“Mana-mana kampung kami ada adat. Apabila orang luar datang, dia kena berjumpa dengan Batin, buat perbincangan dahulu. Baru boleh mereka melakukan apa-apa aktiviti atau tugas,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurutnya, Tok Batin merupakan individu yang dihormati masyarakat Orang Asli dan berperanan sebagai penghubung antara komuniti dengan pihak luar.
Dalam pada itu, penduduk yang ditemui berkata isu yang berlaku bukan semata-mata mengenai tanah, tetapi turut menyentuh adat, identiti, sumber kehidupan dan masa depan generasi yang telah lama menetap di kawasan berkenaan.
Mereka berharap semua pihak memilih jalan rundingan bagi mendapatkan penyelesaian tanpa menjejaskan kehidupan serta keharmonian komuniti setempat.
Bagi mereka, adat perlu dihormati, Tok Batin perlu didengar dan sebarang keputusan mengenai masa depan kampung perlu dibincangkan bersama komuniti.
Terdahulu tular video video yang menunjukkan anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menyepak bekas pembakaran kemenyan tradisional di atas tanah turut mengundang kritikan.
Ketegangan itu tercetus antara penduduk Orang Asli dengan pegawai penguat kuasa ketika operasi di Hutan Simpan Tasek Bera, Pahang baru-bari ini Kampung Orang Asli Pathir, di Bera.
Susulan itu lima Orang Asli ditahan kerana didakwa menghalang pegawai penguat kuasa dalam operasi berkenaan yang menyasarkan tanaman kelapa sawit dan getah bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan polis.
Operasi yang dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 itu membabitkan UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). – MalaysiaGazette
















