KUALA LUMPUR – Keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menimbulkan persoalan mengenai pendirian keseluruhan parti itu terhadap keputusan berkenaan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan keputusan tersebut menegaskan, jika benar DAP tidak bersetuju sehingga perlu meletakkan jawatan, kenapa seorang sahaja yang berbuat demikian.
“Kalau seluruh DAP masih kekal dalam kerajaan, apa signifikannya selain satu lakonan politik untuk menunjukkan kononnya mereka membantah?
“Itupun hanya sekadar ‘menawarkan letak jawatan’. Entah-entah PMX esok atau lusa menolak peletakan jawatan tersebut dan mohon Loke tarik balik, apa pula respons tuan badan?,” kata dalam hantaran di media sosial.
Semalam, Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pen. Tun Razak.
Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengadakan perbincangan kira-kira tiga jam hari ini bagi menentukan pendirian dan tindakan parti susulan keputusan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tawaran peletakan jawatan itu hanya membabitkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri dan bukan menteri atau timbalan menteri DAP yang lain.
Menurutnya, wakil DAP yang memegang jawatan dalam kerajaan akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam kenyataan tersebut, Fadhli turut mempersoalkan tindakan Wanita DAP yang mendesak minit mesyuarat Lembaga Pengampunan didedahkan, sedangkan Hannah Yeoh daripada parti itu merupakan anggota Lembaga tersebut sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
“Kalau mahu telus, kenapa tidak pernah pula mendesak minit mesyuarat ketika Anwar Ibrahim diberikan pengampunan penuh pada 2018 didedahkan? Ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan pun belum dilantik,” ujar beliau dalam hantaran di media sosial.
“Janganlah banyak sangat berlakon, nanti salah baca skrip. Skrip tulis ABCDEFGHI nanti dibaca ABCDEFGLC.. Rakyat bukan susah sangat nak faham helah politik begini,” katanya penuh sinis. – MalaysiaGazette
Anthony Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan susulan pengampunan Najib
















