Amir Hussien

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sepatutnya berperanan sebagai `jambatan’ dengan memberikan kefahaman dan nasihat yang sewajarnya kepada kepimpinan DAP berhubung isu tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Pengerusi Gerakan Suara Rakyat Malaysia (Suara Rakyat), Datuk Seri Amir Hussien berkata, selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, beliau bukan hanya bertindak sebagai pemerhati.

“Hannah Yeoh berada dalam kedudukan yang mengetahui proses serta pertimbangan yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Beliau sendiri telah mengesahkan bahawa beliau memberikan pandangannya dalam mesyuarat berkenaan,” ujarnya di sini hari ini.

Justeru, katanya, dalam batas kerahsiaan dan Perlembagaan yang perlu dihormati, Hannah sepatutnya memainkan peranan sebagai jambatan untuk memberikan kefahaman dan nasihat yang sewajarnya kepada kepimpinan DAP.

Amir mengulas laporan media semalam berhubung tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat membabitkan Najib yang juga bekas Perdana Menteri.

Beliau selanjutnya berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menyebabkan pemimpin politik mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga kestabilan kerajaan dan keharmonian negara.

Sementara itu, Amir yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Labuan berkata, prestasi pentadbiran Wilayah Persekutuan perlu diberikan perhatian yang jauh lebih serius, khususnya di Labuan.

Menurut beliau, rakyat Labuan sedang berhadapan tekanan kos kehidupan dan cabaran ekonomi tempatan.

“Labuan tidak boleh terus bergerak dengan pendekatan lama tanpa pembaharuan ekonomi yang lebih berani dan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Amir mahukan Perbadanan Labuan juga diperkasa dengan hala tuju baharu, kecekapan pelaksanaan dan keberanian membuat perubahan.

Ujarnya, Labuan tidak harus dilihat sekadar mempunyai pelbagai pelan pembangunan di atas kertas tetapi rakyat masih menunggu kesannya dalam kehidupan sebenar.

Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberikan perhatian segera ialah usaha menghidupkan kembali potensi `transshipment‘ dan aktiviti pelabuhan Labuan.

Selain itu, katanya, ekonomi maritim, perdagangan, perkhidmatan, pelancongan serta peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat tempatan perlu diperkukuhkan.

“Labuan memerlukan pembaharuan dan tindakan serta rakyat berhak melihat hasilnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here