KOTA BHARU – Dua Ketua Polis Balai (OCS) di Kelantan menerima surat teguran apabila balai masing-masing gagal merekodkan sebarang tangkapan berkaitan kes dadah dalam tempoh seminggu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, teguran itu sebagai tindakan awal bagi memberi ruang kepada OCS berkenaan memperbaiki pencapaian mereka.
Beliau berkata, enam hingga tujuh balai di negeri berkenaan juga sedang dipantau apabila didapati tidak merekodkan sebarang tangkapan dalam tempoh seminggu.
“Jika ada balai dikesan langsung tiada tangkapan dalam masa seminggu, saya akan pastikan wakil daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turun ke kawasan berkenaan.
“Kalau pasukan petugas khas IPK dapat membuat tangkapan, surat teguran akan diberikan kepada OCS berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan September 2026 di IPK Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata, pemantauan setiap balai dibuat secara mingguan dan OCS yang menerima surat teguran perlu memastikan pencapaian kembali memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) pada minggu berikutnya.
“Contohnya, sasaran satu tangkapan sehari. Kalau hari ini kosong, esok perlu ada tangkapan bagi mencapai sasaran mingguan. Tidak boleh hari ini kosong, esok kosong dan lusa kosong. Usaha perlu diteruskan sehingga mencapai sasaran tujuh tangkapan dalam seminggu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan pascanilai pada 15 Okt ini selepas tempoh rintis tiga bulan bagi mengenal pasti punca balai tertentu gagal mencapai KPI ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat juga balai yang mencatatkan pencapaian melebihi KPI ditetapkan. – BERNAMA
















