Said Harull Nizam (tiga dari kiri) dan Johnathan JS (empat dari kanan) menunjukkan dokumen usaha sama yang dimeterai.
Said Harull Nizam (tiga dari kiri) dan Johnathan JS (empat dari kanan) menunjukkan dokumen usaha sama yang dimeterai.

KUALA LUMPUR – MARA Excellent Ventures Sdn. Bhd. (MEX) meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi memadankan latihan dengan keperluan sebenar tenaga kerja, selain mengenal pasti jurang kompetensi dan memperkukuh pembangunan bakat.

Usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik MEX, anak syarikat MARA Corporation Sdn. Bhd., bersama CXS Analytics Sdn. Bhd. (CXS) melalui usaha sama (Joint Venture) yang turut memberi tumpuan kepada penyelesaian pembangunan modal insan.

Kerjasama berkenaan menggabungkan rangkaian dan keupayaan pelaksanaan MEX dengan kepakaran teknologi, analitik serta AI dimiliki CXS, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian untuk ekosistem MARA serta sektor awam, korporat dan organisasi lain.

Antara potensi yang diteroka menerusi kerjasama itu termasuk penggunaan AI dan analitik bagi pembangunan bakat dan kompetensi, pemadanan latihan dengan keperluan sebenar tenaga kerja, peningkatan produktiviti organisasi serta penyediaan kecerdasan bagi menyokong keputusan pengurusan yang lebih pantas dan berasaskan data.

Ketua Pegawai Operasi MEX, Said Harull Nizam berkata, kerjasama itu selari dengan usaha syarikat memperkukuh keupayaannya dalam menyediakan penyelesaian yang relevan dengan perubahan teknologi dan keperluan organisasi masa kini.

“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang perniagaan baharu kepada MEX, malah memberi ruang kepada kami meneroka bagaimana AI dan analitik boleh dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan modal insan, meningkatkan keupayaan organisasi serta memberi nilai tambah kepada ekosistem MARA. Keupayaan ini kemudiannya boleh diperluaskan kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.

Pengarah Eksekutif CXS, Johnathan JS berkata, kerjasama dengan MEX menyediakan platform strategik untuk membawa teknologi dan kepakaran CXS ke skala lebih besar.

“AI seharusnya bukan sekadar teknologi, tetapi menjadi alat untuk membantu organisasi memahami bakat, mengenal pasti jurang kompetensi dan membuat keputusan yang lebih tepat. Bersama MEX, kami melihat peluang untuk membawa keupayaan ini kepada ekosistem MARA dan seterusnya kepada organisasi lain yang sedang melalui transformasi digital dan tenaga kerja,” katanya.

Melalui usaha sama itu, MEX dan CXS akan meneroka peluang dalam bidang AI, analitik data, pengurusan bakat dan kompetensi, pembangunan tenaga kerja serta transformasi digital, termasuk pembangunan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan organisasi.

CXS merupakan syarikat teknologi dan analitik modal insan yang membangunkan penyelesaian berasaskan data dan AI, dengan pengalaman menyokong ekosistem pembangunan bakat serta kerjaya yang telah melibatkan lebih 300,000 pengguna.

Kerjasama itu turut meletakkan MEX dalam kedudukan untuk memperluas peranannya sebagai rakan strategik penyelesaian teknologi dan modal insan, dengan potensi menyokong agenda transformasi dalam ekosistem MARA serta membawa penyelesaian berkenaan ke pasaran lebih luas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here