Prof. Dr. Arifin Abdu dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu.

KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Arifin Abdu dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu berkuat kuasa 18 September lalu.

Jabatan Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan memaklumkan, sebelum pelantikan itu, Arifin berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM dan merupakan Profesor di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM.

Katanya, beliau turut mempunyai pengalaman sebagai Pengetua Kolej 13 dan Pengetua Kolej Pendeta Za’ba di universiti berkenaan.

“Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan (Pengurusan Hutan) dan Ijazah Sarjana Sains Perhutanan daripada UPM, serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pemulihan dan Pemuliharaan Hutan dari Jepun.

“Bidang kepakaran beliau merangkumi tanah hutan, pemulihan dan pemuliharaan hutan. Penyelidikan beliau turut meliputi penilaian kualiti tanah serta pemulihan hutan tropika,” katanya di sini hari ini.

Pelantikan Arifin itu bagi menggantikan Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang tamat tempoh pelantikan sebagai Naib Canselor UPM pada 17 September 2026.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin pengalaman beliau dalam kepimpinan dan pengurusan universiti, disokong oleh kepakaran akademik serta kefahaman terhadap ekosistem UPM dapat memacu kecemerlangan universiti.

Katanya, pelantikan itu diharapkan dapat memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta memajukan agenda pembangunan pelajar dan kelestarian universiti, sekali gus memperkukuh kedudukan UPM di peringkat nasional dan antarabangsa.

“KPT mengucapkan tahniah kepada YBrs. Prof. Dr. Arifin Abdu atas pelantikan ini dan selamat menjalankan amanah dalam menerajui UPM ke arah kecemerlangan yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Farhan atas khidmat bakti, kepimpinan serta sumbangan sepanjang menerajui UPM sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here