KUANTAN – Bermula dengan sasaran satu anggota, satu wakaf di Pahang – inisiatif Wakaf Tunai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal diperluaskan ke seluruh negara – termasuk Sabah dan Sarawak secara berperingkat sehingga 2030.
Ketua Pengarah Bahagian Kerohanian Islam (BKI) ATM, Datuk Mohd Rashidi Bujal berkata, Pahang dipilih sebagai negeri perintis sebelum inisiatif berkenaan diperluaskan ke kem dan pasukan ATM di seluruh negara.

Menurutnya, tempoh sehingga 2030 itu diperlukan bagi membolehkan penerangan serta pemahaman mengenai wakaf tunai disampaikan kepada pegawai dan anggota di setiap negeri.
“Sebenarnya di negeri-negeri lain kita belum buat lagi tetapi dalam proses kita akan buat di seluruh kem dan pasukan keselamatan ATM.
“Seluruh negeri kita akan jelajahi bagi memberikan penerangan dan penjelasan kepada pegawai serta anggota di negeri-negeri tersebut mengenai perkara itu.
“Kalau ikut saya, tempoh untuk kita selesaikan usaha ini adalah sehingga 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wakalah Zakat dan Pelancaran Wakaf Tunai ATM Negeri Pahang di sebuah hotel di sini hari ini.
Di Pahang sahaja, inisiatif itu menyasarkan penyertaan 2,000 pewakaf baharu dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini daripada kira-kira 8,150 anggota ATM beragama Islam membabitkan 31 pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZW Pahang), Dr Mohd Azmi Othman berkata, sasaran berkenaan dibuat menerusi kempen ‘satu anggota, satu wakaf’ sebagai usaha melonjakkan penyertaan warga ATM dalam wakaf tunai.

“Alhamdulillah pada hari ini kita melaksanakan kempen zakat dan wakaf bagi membuat lonjakan dalam tempoh tiga bulan terakhir pada tahun ini kerana kita berhasrat agar semua anggota di Pahang ini satu anggota, satu wakaf,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Rashidi berkata, pelaksanaan wakaf tunai itu merupakan kesinambungan kerjasama ATM dan PKZW Pahang yang sebelum ini memberi tumpuan kepada peningkatan penyertaan anggota serta pegawai dalam pembayaran zakat.
“Kali ini kita bukan sahaja menambah bilangan anggota dan pegawai untuk menunaikan zakat malahan kita lancarkan lagi satu program baharu iaitu wakaf tunai,” katanya.
Beliau berkata, pulangan wakalah zakat yang diterima daripada pusat zakat negeri akan disalurkan semula kepada Tabung Kebajikan ATM bagi membiayai program kebajikan dan kerohanian warga tentera.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, kempen zakat dan wakaf berkenaan akan diperluaskan menerusi program kem kerohanian yang menerima geran berkaitan bagi mendekati lebih ramai anggota ATM.
“Kami akan masuk menyasarkan pada geran yang telah diberikan seperti kem kerohanian. Jadi dalam program tersebutlah kita akan masukkan elemen kempen zakat dan wakaf,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PKZW Pahang turut menyasarkan peningkatan jumlah pembayar zakat dalam kalangan anggota ATM negeri itu daripada 2,000 kepada 3,000 orang.
Menurut Mohd Azmi, usaha berkenaan termasuk membantu anggota membuat taksiran zakat dengan tepat berdasarkan nisab yang ditetapkan.
“Untuk zakat daripada 2,000 kepada 3,000 orang pembayar zakat sebab zakat dia ada nisab, lebih kurang RM4,092 baru wajib membayar zakat.
“Jadi kita kena membuat kiraan ataupun satu program untuk memastikan tentera membuat taksiran dengan tepat,” katanya.
Majlis berkenaan diadakan dengan kerjasama PKZW Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta BKI ATM.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain. – MalaysiaGazette
















