Gajah Kelat yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka Jepun yang didakwa mengalami penyusutan berat badan sebanyak 100 kilogram (kg), daripada 2,800kg.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (PERKAM) membidas Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kerana didakwa terlalu mempertahankan keadaan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun tanpa membenarkan penilaian bebas dibuat terhadap kebajikan haiwan berkenaan.

Presiden PERKAM, Prof. Dr. S. Santharasekaran berkata, kebimbangan semakin memuncak selepas Kelat dilaporkan mengalami penyusutan berat badan sebanyak 100 kilogram (kg), daripada 2,800kg kepada 2,700kg ketika melalui fasa musth (naik minyak) yang didakwa berpanjangan dan tidak normal.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kebajikan Kelat selain kemungkinan faktor persekitaran di Zoo Tennoji menyumbang kepada penyusutan berat badan berkenaan.

“Jika keadaan ini berterusan, kita bimbang berat badan Kelat akan terus susut sehingga menjejaskan kesihatannya, lebih-lebih lagi musim sejuk bakal tiba dan keadaan itu boleh memberi tekanan tambahan kepada ketiga-tiga gajah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, MPT memaklumkan ketiga-tiga gajah berkenaan berada dalam keadaan sihat dan dipantau secara berkala berdasarkan laporan daripada Zoo Tennoji.

Pada Mei lalu, MPT turut memaklumkan Kelat menunjukkan peningkatan berat badan daripada 2,360kg kepada 2,800kg.

Bagaimanapun, Santharasekaran mempersoalkan bagaimana Kelat boleh mengalami penyusutan berat badan selepas sebelum ini dilaporkan menunjukkan peningkatan berat badan.

Menurut beliau, gajah yang ditempatkan dalam kurungan sepatutnya menerima rutin pemakanan, penjagaan kesihatan oleh doktor veterinar serta pemantauan tingkah laku secara konsisten bagi mengesan tanda tekanan fizikal dan emosi.

“Jika di habitat semula jadi, pergerakan gajah yang jauh dan aktiviti mencari makanan boleh menjadi faktor susut berat badan. Tetapi di zoo, makanan disediakan dan pergerakan lebih terhad.

“Jadi persoalannya, bagaimana Kelat boleh mengalami penurunan berat badan sedemikian?” soalnya.

Santharasekaran turut mempersoalkan kenyataan MPT yang menyifatkan keadaan kebajikan DAK terjamin sambil menegaskan, laporan kesihatan berkala sepatutnya dikeluarkan oleh doktor veterinar yang mempunyai kepakaran khusus mengenai gajah.

Beliau mendakwa, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian termasuk ruang pergerakan yang didakwa terhad, pemakanan, keadaan air kolam serta faktor cuaca di Zoo Tennoji.

“Jangan MPT yang menentukan sama ada gajah ini sihat atau tidak. Laporan perlu datang daripada doktor veterinar yang arif mengenai kesihatan gajah dan dinilai oleh pihak berkecuali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here