KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 23 September lalu susulan aduan yang dibuatnya berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan PN.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah menerima salinan perintah penggantungan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] daripada JPPM.
Beliau berkata, RoS turut mengeluarkan notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 22 September lalu bagi meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu.
“Bersatu telah membuat aduan bertulis pada 11 Ogos 2026 kepada JPPM berkenaan pelanggaran perlembagaan Parti Perikatan Nasional oleh kepimpinan baharu Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, antara perkara dibangkitkan ialah Bersatu didakwa tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, selain isu berkaitan kedudukan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Mohamed Azmin mendakwa, tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi merupakan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan PN.
“Bersatu juga telah mengemukakan aduan kepada RoS mengenai kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa, terdapat individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai ancaman dan tekanan untuk melucutkan atau menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam PN.
Katanya, amalan berkenaan didakwa bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden PN di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan PN.
Mohamed Azmin berkata, RoS telah mengesahkan penerimaan aduan Bersatu dan memaklumkan bahawa penelitian sedang dijalankan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan serta Perlembagaan PN.
Katanya, beliau turut hadir mewakili Bersatu untuk memberikan keterangan kepada JPPM pada 18 Ogos lalu di Ibu Pejabat JPPM, Putrajaya berhubung aduan berkenaan.
“Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada Pegawai Penyiasat RoS dan menerangkan asas aduan yang dibuat pada 11 Ogos 2026,” katanya.
RoS sebelum ini menjelaskan bahawa penggantungan tersebut bukan bermaksud pendaftaran PN dibatalkan, sebaliknya perintah itu bertujuan menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya sementara proses berkaitan berjalan.
Sehubungan itu, Mohamed Azmin menggesa kepimpinan tertinggi dan pihak pengurusan PN supaya tidak meremehkan peranan RoS dengan melemparkan dakwaan yang tidak berasas.
“Bersatu akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara Perlembagaan Perikatan Nasional dan memastikan perjalanan parti ini adalah telus, berintegriti serta menjunjung prinsip kebertanggungjawaban,” katanya. – MalaysiaGazette















