KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia Securities) mengenakan teguran awam terhadap Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) kerana gagal membuat pengumuman segera berhubung empat petisyen penggulungan yang difailkan terhadap syarikat dan anak syarikatnya.
Bursa Malaysia Securities berkata, AZRB melanggar perenggan 9.19(19)(a)(i) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities (MAIN LR) apabila gagal mengumumkan segera tiga petisyen penggulungan yang difailkan pemiutang terhadap Ahmad Zaki Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh AZRB.
Tiga petisyen berkenaan masing-masing melibatkan Qimako Engineering & Construction Sdn Bhd, BBR Construction Systems (M) Sdn Bhd dan Pathfinder M & E Sdn Bhd.
Petisyen keempat pula difailkan AmBank Islamic Sdn Bhd terhadap AZRB dan AZSB Machineries Sdn Bhd, yang juga anak syarikat milik penuh AZRB.
Menurut Bursa Malaysia Securities, empat petisyen berkenaan hanya diumumkan masing-masing pada 14 Mei, 26 Mei, 16 Jun dan 6 Julai 2026.
“Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran ini kerana keperluan membuat pengumuman segera mengenai petisyen penggulungan adalah asas bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan bermaklumat berhubung perniagaan dan kedudukan kewangan syarikat tersenarai,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan maklumat Bursa Malaysia Securities, petisyen Qimako Engineering & Construction berjumlah RM1.18 juta diterima AZRB pada 24 April 2026, namun hanya diumumkan 14 Mei, kelewatan kira-kira 13 hari.
Petisyen BBR Construction Systems (M) berjumlah RM5.01 juta pula diterima pada 6 Mei dan diumumkan 26 Mei, lewat 14 hari.
Sementara itu, petisyen Pathfinder M & E berjumlah RM2.66 juta diterima pada 1 April tetapi hanya dimaklumkan pada 16 Jun, tertangguh 50 hari.
Petisyen AmBank Islamic berjumlah RM558,844 pula diterima pada 22 Jun tetapi diberitahu pada 6 Julai, kira-kira 10 hari lewat.
Bursa Malaysia Securities berkata, AZRB secara berterusan gagal membuat pengumuman segera berhubung petisyen penggulungan berkenaan dan hanya berbuat demikian selepas perkara itu dikesan serta dibincangkan dengan syarikat oleh Bursa Malaysia Securities.
AZRB sebelum ini menjelaskan bahawa syarikat dan anak syarikatnya sedang mengadakan perbincangan serta rundingan dengan pemiutang terbabit bagi mencapai penyelesaian secara baik, selain pihak pengurusan berpandangan petisyen berkenaan berkemungkinan dapat diselesaikan.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia Securities berkata, pihaknya telah menjelaskan dalam perenggan 9.17 Soal Jawab berkaitan MAIN LR bahawa menurut perenggan 9.19(19) MAIN LR, syarikat tersenarai perlu membuat pengumuman segera mengenai sebarang pemfailan petisyen penggulungan terhadap syarikat atau anak syarikatnya.
Keperluan itu terpakai tanpa mengira sama ada syarikat tersenarai berkenaan sedang berunding dengan pihak yang memfailkan petisyen bagi mencapai penyelesaian.
Bursa Malaysia Securities berkata, keputusan mengenakan teguran awam terhadap AZRB dibuat mengikut perenggan 16.19(1) MAIN LR selepas proses sewajarnya selesai, dengan mengambil kira semua fakta dan keadaan termasuk materialiti pelanggaran, pengetahuan serta tindakan syarikat.
Menurutnya, kelewatan berulang dalam membuat pengumuman segera itu menunjukkan ketidakpatuhan terhadap MAIN LR selain mencerminkan kelemahan tadbir urus syarikat.
Walaupun Bursa Malaysia Securities tidak mendapati mana-mana pengarah AZRB menyebabkan atau membenarkan pelanggaran itu berlaku, pihaknya mengingatkan bahawa pengarah mempunyai tanggungjawab memastikan standard tanggungjawab dan kebertanggungjawaban yang sewajarnya bagi menjamin pematuhan MAIN LR.
Lembaga Pengarah AZRB ketika pelanggaran berlaku terdiri daripada Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda, Datuk Ir. W Zulkifli W Muda, Datuk Roslan Jaffar, Tan Sri Lau Yin Pin @ Lau Yen Beng, Datuk Wan Mohd Hilmi Wan Kamal, Lee Chee Khoon, Datuk Ir. Che Noor Azeman Yusoff dan Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Namun, Che Noor Azeman telah meletak jawatan pada 31 Mei 2026, manakala Madinah pada 9 September 2026.
Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan AZRB dan Lembaga Pengarahnya mengenai tanggungjawab mengekalkan standard tanggungjawab serta kebertanggungjawaban korporat yang sewajarnya terhadap pemegang saham dan komuniti pelaburan. – MalaysiaGazette
















