Laluan yang terlibat dalam perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi di Shah Alam, Ahad ini.

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 laluan di sekitar Shah Alam akan ditutup sepenuhnya pada Ahad ini sempena perlumbaan peringkat pertama Petronas Le Tour de Langkawi (LTDL) 2026.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Sarudin Ismail Samah berkata, penutupan jalan itu membabitkan laluan perlumbaan yang bermula dari Radia Arena, Persiaran Tebar Layar, Bukit Jelutong hingga ke sempadan trafik Shah Alam-Klang Utara.

Menurutnya, peringkat pertama LTDL 2026 akan berlangsung pada 27 September dengan pelepasan dijadualkan pada jam 11 pagi.

“Penutupan penuh jalan-jalan yang terlibat akan bermula pada jam 10.45 pagi dan dibuka semula secara berperingkat dalam tempoh satu jam selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara laluan terlibat ialah Persiaran Gerbang Utama, Bulatan Persiaran Balairung, Persiaran Mimbar, Jalan Serambi U8/21, Jalan Ubin U8/19, Jalan Birai U8/54 dan Jalan Lelangi U8/45.

Penutupan turut membabitkan beberapa persimpangan dan susur masuk serta keluar di Lebuhraya Guthrie, Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh, Sunway Kayangan, Cahaya SPK, Lebuhraya DASH, Perdana Heights dan Sunway Alam Suria.

Selain itu, laluan sepanjang Jalan Bukit Cerakah sehingga Jalan Sentosa yang merupakan sempadan trafik Shah Alam-Klang Utara turut terlibat.

Polis menyeru semua pengguna jalan raya memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas di lapangan serta berhati-hati ketika memandu.

Orang ramai turut dinasihatkan mengelak daripada melalui kawasan terjejas sekiranya tiada keperluan mendesak bagi mengurangkan kesesakan dan kelewatan perjalanan sepanjang tempoh penutupan jalan.

LTDL 2026 akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober, dengan perlumbaan bermula di Persiaran Gerbang Utama, Bukit Jelutong, Shah Alam dan berakhir di Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here