KUALA LUMPUR – Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan kejayaan diraih pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 merupakan kemenangan seluruh pasukan yang terbabit dalam pembikinan album Gema Bumantara bukan pencapaian peribadinya.
Menerusi media sosial miliknya, Biduanita Negara itu turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan itu yang disifatkan sebagai rezeki buat dirinya serta seluruh warga kerja album berkenaan.
“Alhamdulillah… Detik indah ini mungkin tidak selalu datang, namun hadir tepat pada waktunya sebagai kurniaan rezeki buat saya dan seluruh warga kerja album Gema Bumantara.
“Terima kasih atas dedikasi dan kepercayaan kalian,” tulisnya.
Pada malam kemuncak AIM25 malam tadi, Siti membawa pulang empat trofi menerusi kategori Vokal Wanita Terbaik (Kesuma), Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik (Pesanan Buat Diri), selain Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi Cenderamaya.
“Walaupun tidak semua yang tercalon berpeluang dibawa naik ke pentas untuk terima trofi, saya tetap hargai semua penerbit, komposer, penulis lirik, jurutera bunyi dan semua yang terbabit dalam album ini,” katanya.

Siti turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures atas sokongan terhadap pembangunan industri kreatif negara.
Penghibur berusia 47 tahun itu berkata, sokongan Dana Kandungan Kreatif – Dana Kebolehan Pasaran (Domestik) 2.0 membantu pembangunan beberapa lagu yang dimuatkan dalam album Gema Bumantara.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SN Legacy, Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music selaku penerbit bersama album berkenaan.
Album Gema Bumantara menerima 14 pencalonan pada AIM 25 termasuk kategori Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik.
Kejayaan itu memperlihatkan penghargaan terhadap usaha Siti mengangkat muzik tradisional dan elemen warisan menerusi karya yang dimuatkan dalam album berkenaan.
Bagi Siti, pengiktirafan diterima bukan sekadar buat dirinya sebagai penyanyi, sebaliknya, menjadi penghargaan kepada seluruh pasukan yang bekerja di belakang tabir bagi merealisasikan album itu.
“Justeru, ayuh raikan semua dan terus berkarya,” katanya. – MalaysiaGazette
















