Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri melakukan gimik perasmian Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 Pasukan Polis Marin di Markas Operasi PPM Wilayah 1 Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 01 OKTOBER 2026.

PELABUHAN KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan pencapaian penguatkuasaan membabitkan nilai rampasan sehingga RM525 juta menerusi Ops Taring Gelora antara Januari lalu hingga bulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu hasil penahanan 2,707 individu atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 7,627 kes direkodkan dalam operasi tersebut merangkumi kesalahan perikanan, penyeludupan dadah, migran, khazanah negara, barang kawalan dan lain-lain,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun ke-79 PPM di Pengkalan Polis Marin Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Mohd Yusri juga berkata, angka berkenaan membuktikan komitmen dan pengorbanan warga PPM dalam membanteras kegiatan jenayah di perairan negara.

“Angka-angka ini bukan sekadar statistik tetapi menunjukkan semangat dan kesungguhan warga PPM atas bakti yang telah dicurahkan,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, kekuatan sebenar PPM bukan hanya bergantung kepada aset dan kemudahan operasi, tetapi turut bergantung kepada kompetensi sumber manusia yang mengendalikan operasi di lapangan.

“Anggota PPM perlu sentiasa meningkatkan kemahiran, kecekapan dan integriti bagi memastikan pasukan itu terus diyakini dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan komander serta pegawai PPM yang masih memberikan sokongan kepada PDRM dan pasukan berkenaan.

Katanya lagi, pencapaian PPM hari ini merupakan hasil legasi yang dibina oleh pemimpin dan warga pasukan terdahulu.

“Tiada yang lama, tiada yang baharu. Setiap kejayaan yang dicapai oleh PPM pada hari ini adalah hasil legasi yang dibina oleh PPM terdahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here