PUTRAJAYA – Isu berhubung dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membelanjakan RM2.1 bilion melebihi peruntukan bagi tempoh tiga tahun sudah selesai, kata Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz.
“Dah selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran dan Persidangan Perdana Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu tersebut termasuk permintaan seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO supaya penjelasan diberikan kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Saya tak tahu, tapi isu ini dah selesai,” ujarnya.
Semalam, Ahli MKT UMNO, Datuk Razlan Rafii meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican memberikan penjelasan kepada Guan Eng berhubung dakwaan perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.
Razlan turut mempersoalkan sumber yang digunakan Penasihat DAP berkenaan bagi mendapatkan angka berkenaan.
Pada 4 September lalu, Guan Eng mendakwa, KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding peruntukan RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Menurut Guan Eng, jumlah perbelanjaan yang didakwa melebihi peruntukan bagi tempoh tiga tahun itu mencecah RM2.1 bilion.
Bekas Menteri Kewangan berkenaan turut menggesa penjelasan serta tindakan diambil berhubung perkara tersebut.
Semalam, Guan Eng sekali lagi mengulangi gesaan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan, manakala Razlan mempersoalkan asas kepada dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette
















