Sivaneswaran membuang peralatan Dan alat elektrik yang rosak selepas banjir kilat melanda rumahnya di Jalan Kolam Ayer, Taman Nong Chik, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kegembiraan menanti sambutan Deepavali bulan depan bertukar duka buat sebuah keluarga apabila rumah mereka di Jalan Kolam Ayer, Taman Nong Chik di sini, dilanda banjir kilat semalam.

Penduduk, B. Yogesparan, 40, mendakwa, semua persiapan Deepavali dia dan lima anaknya musnah dalam banjir tersebut yang disifatkan berlaku tiba-tiba.

“Persiapan sudah dibuat minggu lalu, namun segalanya musnah kerana banyak barang hanyut dan kotor dengan lumpur. Kerugian kira-kira RM2,000.

“Habis baju saya dan anak-anak kotor, memang rosak teruk. Malam tadi saya sudah hantar ke dobi untuk cuci.

“Sedih juga tetapi tak apa, kita akan sambut juga secara sederhana,” katanya ketika ditemui pemberita semasa membersihkan rumahnya hari ini.

Portal ini semalam melaporkan, beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat beberapa jam.

Yogesparan menunjukkan kawasan pekarangan rumahnya yang sudah dibersihkan selepas dilanda banjir kilat semalam.

Antara kawasan terjejas teruk adalah Jalan Ayer Molek; Jalan Yahya; Jalan Pantai; Jalan Wong Ah Fook serta Kampung Pasir, Tampoi.

Bercerita lanjut, Yogesparan yang bekerja sebagai kontraktor berkata, hujan lebat selama sejam itu menyebabkan beberapa rumah di lokasi berkenaan ditenggelami air.

“Air naik cepat juga. Sebab di sini kawasan rendah, dekat dengan longkang dan tasik jadi air cepat melimpah.

“Ini kali kedua saya berdepan musibah banjir. Kalau dua tahun lepas memang teruk hampir paras bumbung,” ujarnya yang merupakan seorang duda dan menyewa di situ sejak empat tahun lalu.

Dia mendakwa, punca banjir kilat bukan dari parit berdekatan penuh tetapi tasik di Taman Merdeka kira-kira 300 meter dari belakang rumahnya melimpah.

Seorang lagi mangsa di kawasan berkenaan, P Sivaneswaran, 59, yang bekerja sebagai tukang cat berkata, peralatan rumah dan barang elektrik rumahnya rosak teruk akibat banjir kilat.

Sivaneswaran melihat pakaian yang kotor akibat lumpur dan tanah untuk dicuci akibat banjir kilat.

“Saya punya tilam, televisyen, peti sejuk, baju-baju juga rosak dan kena lumpur. Saya rugi lebih kurang RM5,000,” katanya yang masih belum berkahwin.

Menurutnya, kejadian semalam merupakan pengalaman ketiganya selepas menyewa di situ sejak empat tahun lalu.

Dia yang berasal dari Ipoh, Perak mengharapkan agar tindakan segera diambil terutamanya melebarkan longkang yang terletak berhampiran rumah yang disewanya itu.

“Kawasan sini kalau hujan lebat memang cepat naik air. Dulu air pernah naik sampai paras pintu, tak sempat nak buat apa-apa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here