PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan, penguatkuasaan terhad yang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu hanya melibatkan pegawai AKPS dan Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan ketika beliau bersama pasukannya membuat tinjauan persediaan dan kesiapsiagaan AKPS bagi menghadapi kemasukan pengunjung sempena penganjuran Formula 1 hujung minggu ini.
Menurutnya, selepas selesai tinjauan tersebut, beliau bersama pegawai AKPS dengan bantuan pegawai AVSEC menjalankan penguatkuasaan terhad susulan menerima aduan mengenai kegiatan sindiket ‘ulat’ membabitkan warga asing yang didakwa semakin ketara di lapangan terbang berkenaan.
“Selain faktor itu, kita juga berdepan isu cubaan menyeludup dadah ke Eropah dan kontraban lain. Hampir setiap hari kita menjumpai sindiket yang cuba menyeludup dadah ke Eropah.
“Jadi, apabila mengambil kira kedua-dua faktor ini, saya membuat keputusan pada hari tersebut untuk menjalankan penguatkuasaan terhad di aras lima,” katanya pada sidang media penjelasan berkaitan rakaman video tular membabitkan beliau di KLIA baru-baru ini.
Mohd Shuhaily berkata, ketika penguatkuasaan itu dijalankan, pihaknya secara kebetulan menerima aduan berhubung kegiatan berkenaan dan menyaksikan sendiri kejadian tersebut sebelum menahan seorang warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket ‘ulat’.
Katanya, individu itu kemudian dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi milik AVSEC untuk tindakan lanjut.
“Ingin saya tegaskan di sini setegas-tegasnya bahawa penguatkuasaan itu hanya melibatkan pegawai AKPS dan AVSEC.
“Dalam bilik itu, sepatutnya hanya ada pegawai daripada AKPS dan AVSEC sahaja,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, tanpa disedari, dua individu yang tidak dikenali muncul dan merakam tindakan beliau bersama pasukannya ketika menemu bual warga asing berkenaan.
Menurutnya, selepas kedua-dua individu itu didekati pegawainya dan dibawa ke hadapan untuk melihat rakaman yang dibuat, arahan diberikan supaya rakaman tersebut dipadamkan.
“Saya telah memberikan amaran yang paling tegas, setegas-tegasnya sebagai seorang pegawai polis yang telah diamanahkan dan biasa memberi arahan setegas-tegasnya,” ujarnya.
Mohd Shuhaily berkata, susulan insiden itu, satu laporan polis dibuat terhadapnya sehari selepas kejadian, sebelum satu lagi laporan dibuat kira-kira pukul 5 pagi, 30 September lalu.
Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan beliau bersama pasukannya membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud usaha untuk mencemarkan nama atau imej AKPS secara keseluruhan, selain dirinya.
“Saya tidak sempurna. Saya telah mengatakan perkara itu banyak kali.
“Dan hari ini, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, saya mengakui dan berdepan dengan ketidaksempurnaan saya,” tambahnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan berlaku kontak fizikal antara beliau dengan individu terbabit seperti yang dinyatakan dalam laporan polis, Mohd Shuhaily enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak mahu mengulas sama ada kontak tersebut berlaku ataupun tidak kerana nanti ia akan menjadi ‘my words against his words’. Tak habis.
“Saya biarkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lebih lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette
















