Kemalangan sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar yang terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 1.5, Jalan Persiaran Pahlawan, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun maut selepas motosikal jenis Modenas Pulsar ditunggangnya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di Kilometer 1.5, Jalan Persiaran Pahlawan, Port Dickson, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya maut membabitkan motosikal itu kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang bergerak dari arah Sunggala menghala ke Pekan Port Dickson sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.

“Penunggang dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan bertentangan sebelum melanggar sebatang pokok.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes iaitu Insp Norraini di talian 012-7082321 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here