PELABUHAN KLANG – Sebutir peluru yang menembusi lengan ketika bertempur dengan kumpulan lanun dari Filipina pada 1976 masih bersarang dalam tubuh Inspektor Bersara Jakarta Makling, hampir lima dekad selepas pertempuran itu berlaku.
Ketika ditembak, Jakarta baru berusia 23 tahun dan kira-kira enam tahun menyarung seragam polis.
Hari ini, pada usia 72 tahun, parut dan peluru yang masih kekal di lengannya menjadi saksi kepada pengalaman getir sepanjang kira-kira 40 tahun perkhidmatannya dalam pasukan keselamatan.
Lebih bermakna, bekas anggota Pasukan Polis Marin (PPM) itu kini bergelar datuk kepada 13 cucu, selain mempunyai enam anak di mana seorang daripadanya turut mengikut jejak beliau menyertai pasukan polis.
Mengimbas kembali kejadian itu, Jakarta berkata, beliau cedera ketika terbabit dalam operasi mengejar kumpulan lanun di perairan Sabah, sebelum bot dinaikinya ditembusi tembakan.
“Ketika itu kami bertempur dan saya terkena tembakan di lengan. Peluru itu masih ada sampai sekarang kerana ketika itu kemudahan perubatan tidak seperti hari ini dan doktor menasihatkan supaya ia tidak dikeluarkan.
“Dalam pertempuran berkenaan, kami berdepan kumpulan dari Filipina dan beberapa anggota mereka berjaya ditembak mati,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jakarta dinobatkan sebagai Tokoh Wira Pasukan Polis Marin (PPM) 2026 pada Sambutan Hari Ulang Tahun PPM Ke-79 di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pulau Indah, di sini.
Jakarta berkata, sepanjang operasi pada 1976, beliau terbabit dalam lapan pertempuran, termasuk dua di Sandakan dan enam lagi di kawasan Ladang.
“Kecederaan itu turut meninggalkan kesan terhadap pendengaran saya, namun tidak mematahkan semangat untuk meneruskan tugas sehingga bersara pada 2012,” katanya.
Kini, hampir 50 tahun selepas peluru menembusi lengannya, Jakarta melihat perubahan besar dalam keupayaan PPM menjaga keselamatan perairan negara.
“Dulu kapal tidak sebesar dan secanggih sekarang. Hari ini saya bangga melihat anak-anak PPM terus menjaga perairan dan sempadan negara.
“Saya bangga kerana anak saya juga menyertai polis. Tetapi saya tahu tugas ini bukan mudah kerana saya sendiri pernah merasai bagaimana rasanya ditembak ketika menjalankan operasi,” katanya.
Katanya, penghargaan sebagai Tokoh Wira membangkitkan perasaan bercampur-baur selepas lebih empat dekad mengabdikan diri kepada pasukan.
“Saya terharu, sedih pun ada dan gembira pun ada. Saya tidak sangka selepas begitu lama, saya masih diingati dan diberi penghargaan seperti ini.
“Bagi saya, ini satu kebanggaan sebagai bekas anggota Polis Marin,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hasan Basri berkata, pengiktirafan tersebut menjadi penghormatan kepada jasa dan pengorbanan anggota PPM yang pernah berdepan pelbagai ancaman ketika menjalankan tugas.
“Jakarta merupakan antara wira PPM yang telah mencurahkan khidmat dalam menjaga keselamatan perairan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















