KUALA LUMPUR – Seramai 18 warga asing ditahan selepas sebuah bot nelayan tempatan (VNT) kelas C yang disyaki melanggar syarat lesen dikesan di perairan Sabak Bernam, awal pagi tadi.
Vesel berkenaan disyaki melanggar syarat lesen kerana menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, vesel berkenaan ditahan Kapal Maritim Malaysia kira-kira pukul 2.50 pagi pada kedudukan 9.4 batu nautika barat daya Tanjung Sauh, Sabak Bernam, ketika dalam perjalanan masuk ke Pangkalan Sungai Besar.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 50 tahun bersama 19 awak-awak, terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 52 tahun dan 18 warga asing, iaitu seorang warga Thailand.
“Turut dicekup tiga warga Indonesia serta 14 warga Myanmar berusia antara 20 hingga 48 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 13 kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala lima lagi mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah.
“Bagaimanapun, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vesel bersama tekong dan kesemua kru yang ditahan kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, selain di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. – MalaysiaGazette
















