Sembilan pelajar UC TATI yang ditempatkan di Guangzhou Huashang Vocational College (GHVC).

KUALA LUMPUR – Landskap pendidikan yang semakin berorientasikan tanpa sempadan merentasi benua menuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mengambil peluang bagi memastikan setiap graduan yang dilahirkan mampu bersaing dalam pasaran kerja global.

Menyedari keperluan itu, Kolej Universiti TATI (UC TATI) yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu memulakan langkah pertama untuk menghantar pelajar-pelajarnya ke tanah besar China.

Ia bagi mengikuti pengajian bidang kejuruteraan sains komputer dan pengurusan perniagaan yang dilihat mempunyai potensi besar mengikut kehendak semasa pemain-pemain industri antarabangsa.

Timbalan Rektor Akademik & Pengantarabangsaan UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed berkata, hala tuju pendidikan tinggi masa kini bagi jalinan kerjasama strategik dengan pemegang taruh antarabangsa adalah realistik untuk tempoh jangka masa panjang.

Jelasnya, ia bagi memastikan graduan yang dihasilkan kekal relevan mengikut keperluan semasa.

“Kita perlu keluar dari zon selesa sama ada sebagai pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi mahupun bagi pelajar itu sendiri untuk masa depan masing-masing dalam keperluan industri global masa kini.

“Masing-masing hadir dengan tanggungjawab besar untuk membina generasi baharu yang akan memacu ekonomi mahupun kemajuan untuk tanah air.

“Kita tidak boleh nafikan China sememangnya kuasa besar dunia yang mendahului banyak sektor industri termasuk bidang teknologi yang secara tidak langsung menjadi asas dalam kehidupan seharian masa kini.

“Di sebalik ledakan industri teknologi ini juga secara asasnya adalah satu urus niaga perniagaan di peringkat global yang menjadi tambah nilai untuk melahirkan graduan berkaitan yang berkualiti,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Yayasan Terengganu(YT) juga memain peranan besar dalam dimensi baharu pendidikan global bagi pelajar-pelajar UC TATI khususnya anak-anak Terengganu bagi memberi peluang sama rata untuk mereka melangkah ke peringkat pengajian tinggi dalam persekitaran antarabangsa.

Untuk kelompok pertama ke China itu, seramai sembilan pelajar ditempatkan Guangzhou Huashang Vocational College (GHVC) di mana setiap pelajar berkenaan perlu bermula dengan pengajian bahasa Mandarin bagi menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK).

Ia bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian khusus peringkat ijazah dalam bidang masing-masing.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here