KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan membabitkan kompaun berjumlah RM35,000 dan rampasan barangan dianggarkan bernilai RM38,000 dikenakan terhadap 17 premis penjualan rokok elektronik di sekitar Subang Jaya, Selangor.
Tindakan itu hasil Operasi Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurut Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik mematuhi perundangan berkaitan, termasuk aspek perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan dan pelesenan premis.
Katanya, operasi berkenaan membabitkan 68 anggota terdiri daripada 17 pegawai dan anggota KPDN Selangor, 40 anggota MBSJ, lima pegawai KKM dan enam pegawai SSM.
Hasil pemeriksaan, tambahnya, KPDN Selangor mengambil tiga tindakan kes di bawah Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022.
Ujar beliau, kes berkenaan melibatkan kegagalan mematuhi subsubperenggan 4(2)(b), iaitu peranti rokok elektronik atau alat ganti yang tidak ditandakan dengan tanda sebagaimana ditetapkan dalam Jadual.
“Selain itu, KPDN turut mengeluarkan lima kompaun di bawah Akta Timbang Sukat 1972 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“MBSJ pula mengeluarkan 14 kompaun di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSJ serta Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ.
“SSM mengeluarkan lima kompaun di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan agensi itu, manakala KKM mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 18(1)(a) atas kesalahan gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok,” katanya.
Tambahnya, operasi bersama itu membuktikan komitmen berterusan dan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan pematuhan undang-undang secara menyeluruh.
Menurutnya, langkah proaktif berkenaan turut bertujuan melindungi kepentingan pengguna serta memelihara kesejahteraan kesihatan awam.
“KPDN ingin mengingatkan semua peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik agar sentiasa mematuhi sepenuhnya keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan.
“Setiap peranti rokok elektronik atau alat ganti yang ditawarkan untuk jualan hendaklah mempunyai perakuan daripada pihak berkuasa yang berwibawa serta ditandakan dengan tanda yang ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pemantauan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati gagal mematuhi peruntukan ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perniagaan yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel [[email protected]](mailto:[email protected]) atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette
















