Mohd Jafni melakukan tinjauan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Bandaraya Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta pada tahun depan yang melibatkan empat langkah drastik bagi menangani isu banjir kilat di kawasan bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan segera itu bagi mempercepatkan pelaksanaan langkah jangka pendek dan sederhana mengatasi masalah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak di sini sebentar tadi berhubung kejadian banjir kilat luar biasa yang melanda beberapa lokasi di badar raya ini semalam.

“Taburan hujan yang direkodkan semalam disifatkan amat tinggi melebihi dua hingga tiga kali ganda berbanding biasa, iaitu mencecah 60 milimeter (mm) hingga melebihi 100mm di kawasan tertentu berbanding kadar normal 10mm sejam.

“Keadaan cuaca kini sukar dijangka. Walaupun Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membelanjakan lebih RM100 juta dalam tempoh empat tahun lalu serta peruntukan RM48 juta lagi tahun depan untuk menaik taraf pam dan benteng, jumlah air yang terlalu banyak menyukarkan aliran air ke Selat Johor.

“Oleh itu, kita melihat empat perkara utama yang perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara MBJB di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, P. Pannir Selvam.

Portal ini semalam melaporkan, beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat beberapa jam.

Antara kawasan terjejas teruk adalah Jalan Ayer Molek; Jalan Yahya; Jalan Pantai; Jalan Wong Ah Fook serta Kampung Pasir, Tampoi.

Menurut Mohd Jafni, empat fokus utama tindakan segera dan perancangan strategik yang diatur meliputi lantikan konsultan pakar khusus oleh MBJB bagi membuat kajian terperinci sistem perparitan dan saliran fokus di kawasan bandar raya, sejajar dengan kajian menyeluruh daerah oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita juga akan membina kolam takungan bawah nanah yang mana pelaksanaan sistem On-Site Detention (OSD) ini akan dibuat di kawasan Jalan Sungai Chat membabitkan penggalian dan pembinaan tangki konkrit di bawah tanah bagi menampung air, manakala bahagian atasnya boleh dimanfaatkan sebagai padang permainan atau tempat letak kereta seperti yang pernah dilaksanakan di Kota Iskandar.

“Kita juga akan menambahan kapasiti pam air baharu ke Selat Johor sebagai persediaan dan menangani taburan hujan luar biasa untuk tempoh lima tahun akan datang, selain pemindahan pam bergerak (mobile pump) ke lokasi berisiko seperti Kampung Pasir,” katanya.

Pihaknya juga akan menaik taraf dan membesarkan parit monsun termasuk kerja-kerja melebarkan laluan ‘crossing culvert’ di kawasan kritikal dengan pembinaan dua saliran berdiameter 1.2 meter oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mohd Jafni berkata, selain empat langkah utama berkenaan, pelbagai tindakan serta-merta turut dimulakan serta-merta bermula esok termasuk kerja menaikkan kedalaman kolam takungan Kampung Mohd Amin sebanyak tiga kaki serta mengeringkan atau merendahkan paras air sedia ada di kolam seperti Taman Merdeka dan Sungai Chat menggunakan sistem pam berjadual sebelum hujan lebat melanda.

Langkah itu bertujuan memberi ruang takungan fleksibel yang lebih besar untuk menampung limpahan air hujan, jelasnya.

Pada masa sama koordinasi bersepadu akan dilaksana setiap minggu membabitkan MBJB, JPS, JKR dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) bagi memantau kemajuan pelaksanaan projek mitigasi banjir berkenaan secara berterusan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here