JOHOR BAHRU – Johor akan memperkenalkan Pelan Tindakan Kawalan Haiwan Terbiar 2027-2031 bertujuan menangani isu anjing liar secara lebih menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha berkenaan bagi memastikan isu anjing liar tidak lagi ditangani secara bersendirian oleh mana-mana agensi.
“Kerajaan negeri juga akan melihat keperluan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus di peringkat kampung bagi membolehkan tindakan terhadap anjing liar dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Sudah sampai masanya kita melihat isu anjing di luar bandar ini secara keseluruhan dengan melibatkan jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk duduk bersama-sama dan mengeluarkan satu SOP di peringkat kawasan kampung.
“Jadi, apabila timbul isu anjing liar, kita sudah ada kaedah dan tindakan yang jelas untuk dilaksanakan secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, hari ini.
Mohd Jafni berkata, isu berkenaan turut perlu diberi perhatian kerana sebahagian kawasan luar bandar bukan berada dalam kawasan PBT yang dikenakan cukai, sekali gus tidak mempunyai perkhidmatan tangkapan anjing secara bulanan seperti di kawasan pentadbiran PBT.
Katanya, kerajaan negeri bagaimanapun sudah mengadakan penyelarasan membabitkan Jabatan Veterinar, PBT, Pejabat Tanah, ketua kampung dan pemimpin masyarakat bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah berkenaan.
Di peringkat kerajaan negeri, katanya, peruntukan PBT akan dilihat supaya boleh disalurkan untuk kerja-kerja menangkap anjing di kawasan luar bandar melalui pegawai daerah yang menyelaras tindakan itu.
Sementara itu, beliau berkata, antara punca peningkatan anjing liar adalah sikap segelintir pihak yang melepaskan anjing peliharaan selepas sesuatu projek pembangunan atau pertanian selesai.
“Ada kawasan pertanian menanam sayur atau pembangunan, kontraktor biasanya membeli anjing untuk tujuan tertentu, tetapi apabila projek siap, anjing itu dilepaskan. Bila dilepaskan, haiwan itu perlu mencari makanan sendiri dan akhirnya berkeliaran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemilik anjing juga perlu diberi kesedaran mengenai keperluan memiliki lesen serta tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan supaya tidak menjadi anjing terbiar.
Kerajaan negeri ujarnya, akan turut meneliti pendekatan vaksinasi dan pemandulan anjing liar bagi mengawal populasi haiwan berkenaan, selain mengurangkan risiko penyakit termasuk rabies.
“Untuk anjing liar, kita perlu bincangkan bagaimana kita boleh beri vaksin dan pada masa sama melakukan pemandulan supaya pembiakan tidak berlaku secara tidak terkawal.
“Pada masa sama, kita perlu ada peruntukan dan bajet pendidikan untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pemilikan serta penjagaan anjing,” katanya.- MalaysiaGazette
















