KUALA LUMPUR: Klang, Selangor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat tertinggi iaitu 139 setakat pukul 5 petang hari ini.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), dua lagi kawasan turut merekodkan bacaan dalam kategori tidak sihat iaitu Nilai, Negeri Sembilan dengan 130 dan Putrajaya (122).
Dalam kategori sederhana, Banting, Selangor mencatat bacaan IPU 97, diikuti Port Dickson, Negeri Sembilan (95) dan Petaling Jaya, Selangor (91).
Batu Muda, Kuala Lumpur pula merekodkan bacaan 89, diikuti Bukit Rambai, Melaka (88) dan Alor Gajah, Melaka (81).
Tawau, Sabah mencatat bacaan 78, manakala Seri Manjung dan Kuala Selangor masing-masing merekodkan 76.
Kota Bharu, Kelantan pula mencatat bacaan IPU 73.
Data berkenaan menunjukkan Selangor merekodkan tiga kawasan dalam senarai 10 stesen dengan bacaan tertinggi, diikuti Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing dua kawasan. – MalaysiaGazette
















