KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan projek perintis sekurang-kurangnya enam bulan bagi menguji peluasan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di pasar tamu sebelum mekanisme tersebut diperluaskan secara menyeluruh.
Ahli Dewan Negara, Senator Larry Asap berkata, ini bagi memastikan mekanisme pelaksanaan dapat diuji terlebih dahulu, termasuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahannya.
Dalam masa sama, jelasnya, ia juga bagi menilai kesan terhadap pendapatan penjaja dan peniaga kecil di peringkat akar umbi.

Menurutnya, beliau pada sidang Dewan Negara pada 27 Julai lalu telah meminta Menteri Kewangan menyatakan kesediaan lerajaan untuk memperluas skop perbelanjaan SARA ke pasar tamu bagi memberi manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.
Dalam jawapan itu, ujarnya, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa penggunaan pembayaran kod QR SARA di pasar tamu dan pasar tani masih dalam peringkat kajian dan penelitian.
“Sekiranya mekanisme itu didapati mampan, pelaksanaannya akan diumumkan dalam Belanjawan 2027.
“Saya berpandangan bahawa kajian perlu disusuli dengan tindakan yang boleh diuji dan diukur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Larry, Kementerian Kewangan perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah bagi memastikan projek perintis itu mempunyai mekanisme pendaftaran, pelesenan dan transaksi yang jelas.
Antara langkah asas yang boleh dilaksanakan, ujarnya, adalah mengenal pasti dan mendaftarkan penjaja serta peniaga kecil yang layak menyertai projek perintis.
Selain itu, kata beliau, penjaja yang berdaftar dengan PBT perlu mendapatkan lesen perniagaan melalui Pejabat Daerah mengikut keperluan yang ditetapkan serta membuka akaun semasa bagi memudahkan urusan transaksi dan rekod pendapatan.
Dalam masa sama, tambahnya, Kementerian Kewangan menyediakan perlu menyediakan kod QR khusus kepada penjaja yang mengambil bahagian bagi membolehkan transaksi SARA direkodkan dan dipantau.
“Projek perintis ini wajar melibatkan pasar tamu di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar supaya keberkesanannya dapat dinilai dalam konteks yang berbeza,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, data pendapatan penjaja perlu dikumpulkan dan dianalisis.
Jelasnya, data itu penting untuk menentukan sama ada peluasan penggunaan SARA di pasar tamu benar-benar membantu meningkatkan pendapatan isi rumah penjaja dan peniaga kecil.
Kata beliau, persoalannya bukan sekadar berapa banyak transaksi SARA yang berlaku, tetapi apakah perubahan yang berlaku kepada pendapatan isi rumah penerima.
“Adakah mereka memperoleh pendapatan yang lebih stabil? Adakah peningkatan tersebut membantu mereka keluar daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK)?
“Persoalan ini hanya boleh dijawab dengan data yang konkrit,” ujarnya.
Tambah Larry, bagi tahun ini jumlah peruntukan STR dan SARA mencecah RM15 bilion dan dengan peruntukan sebesar itu, manfaatnya perlu dipastikan dapat mengalir kepada ekonomi akar umbi dan membuka peluang pendapatan kepada peniaga kecil.
Sehubungan itu, beliau berharap pendekatan projek perintis tersebut dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
“Kita tidak perlu bermula dengan pelaksanaan berskala besar. Mulakan dengan projek perintis, pantau selama enam bulan, kumpulkan data, nilai hasilnya dan kemudian tentukan langkah seterusnya.
“Ini adalah satu langkah kecil, tetapi jika dilaksanakan dengan baik dan berasaskan data, ia berpotensi memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















