JOHOR BAHRU – Telefon bimbit Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon didakwa digodam oleh scammer yang menghantar mesej suara untuk meminjam wang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu menegaskan, beliau tidak pernah meminta sebarang pinjaman wang daripada sesiapa.
“Sebentar tadi, beberapa rakan saya menerima mesej suara yang kononnya daripada saya, memaklumkan ada urusan kecemasan sebelum meminta untuk meminjam wang.
“Malah, apabila diminta untuk membuat panggilan telefon, individu tersebut benar-benar menghubungi rakan saya.
“Namun, suaranya kedengaran mencurigakan dengan loghat seakan-akan dari China,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Sehubungan itu, beliau memohon semua rakan dan kenalannya agar berhati-hati dan tidak membuat sebarang transaksi atau mudah mempercayai mesej dan panggilan yang menggunakan identitinya.
“Harap maklum dan bantu sebarkan supaya tiada sesiapa menjadi mangsa penipuan ini,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette
















