KUALA LUMPUR – Cadangan perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini supaya Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan tempoh sepenggal jawatan sebagai perdana menteri disifatkan sebagai wajar.
Bekas Senator, Mohammad Ezam Mohd Nor berkata, ini kerana jawatan perdana menteri adalah soal negara dan bukannya soal individu atau parti.
Menurut beliau, negara memerlukan seorang perdana menteri yang mampu menyelesaikan masalah dan bukan sebaliknya.
“Sejarah juga membuktikan hakikat cubaan blok pembangkang sebelum ini dan penawaran calon PM selain Tun Mahathir sebelum ini gagal memperolehi mandat rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ezam berkata, mandat yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah atas harapan dan keyakinan pengundi terhadap keupayaan Dr Mahathir menyelesaikan masalah negara yang semakin meruncing pada masa itu.
Tambah beliau, mandat rakyat itu adalah untuk menyelesaikan masalah negara dan bukannya soal tempoh masa jawatan perdana menteri untuk diserahkan kepada pengganti.
“Ianya soal negara. Masalah negara yang perlu diselesaikan.
“Tumpuan harus kepada membantu perdana menteri menyelesaikan masalah negara kerana itulah harapan rakyat.
“Selagi perdana menteri ini mampu bekerja selesaikan masalah negara dan diberi kuasa oleh Allah dan kuasa yang sah mengikut Perlembagaan, maka kita harus memberi tumpuan membantu beliau menjalankan kerjanya.
“Lebih-lebih lagi setelah kita tahu masalah yang dihadapi negara lebih besar dari anggapan kita sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak agar berhenti daripada mempersoalkan mengenai tempoh jawatan Dr Mahathir itu.
Ini kerana katanya, desakan untuk menurunkan Dr Mahathir dianggap sebagai tidak relevan serta tidak bertanggungjawab.
“Pokoknya, rakyat mahu seorang PM yang mampu bekerja dan selesaikan masalah mereka dan negara. Seorang PM mesti mampu dan dilihat mampu selesaikan masalah negara.
“PM selepas ini juga perlu diangkat berdasarkan atas asas yang sama. Apakah dia mampu dan dilihat mampu selesaikan masalah negara?
“Atau dilihat mengundang lebih banyak masalah kepada negara? Ini persoalan pokok, bukan soal perjanjian antara individu dan antara parti sahaja yang harus menjadi asas pilihan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















