Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata sebelah kiri, seorang penganggur menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata sebelah kiri, seorang penganggur menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

KUALA LUMPUR – Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata sebelah kiri, seorang penganggur menerima balasan hari ini apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Lim Chin Seng, 40, setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan ibunya.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 1 Jan 2019.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Teoh Siew Ngoh, 64, di kawasan parkir Brem Park Kondominium 1, Taman Gembira, Brickfields, di sini pada 8.30 malam, 20 Jun 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326(A) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

“Saya dan ibu telah berdamai. Ini kesalahan pertama dan saya kesal atas perbuatan saya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan mangsa adalah ibu kandung tertuduh dan meminta supaya tertuduh memohon maaf kepada ibunya yang hadir di mahkamah.

“Saya tidak akan ulanginya lagi. Saya minta maaf ibu,” kata tertuduh sambil memandang ke arah ibunya yang duduk di galeri awam.

Difahamkan, berlaku pertelingkahan mulut antara tertuduh dan ibunya, sebelum tertuduh bertindak menumbuk mata mangsa.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast