AMPANG – Persatuan Muafakat Lembah Jaya Utara hari ini melahirkan rasa kesal apabila pemaju projek pembangunan di Lembah Jaya Utara, Lembah Jaya Selatan dan beberapa kampung di sini yang didakwa mengabaikan aspek keselamatan hingga mengancam nyawa penduduk.
Pengerusinya, Sulaiman Mohd Amin mendakwa, keadaan bertambah kritikal apabila jalan alternatif melalui Kampung Tengah ditutup tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan dengan mendirikan tembok kekal secara haram sejak Mac lalu.
“Pemaju buat dinding kekal bertujuan untuk menjadikan laluan itu sebagai jalan persendirian. Pemaju juga mendirikan papan tanda penutupan jalan yang tidak disahkan oleh pihak majlis tempatan.
“Apabila jalan ditutup, ibu bapa terpaksa menggunakan jalan besar untuk menghantar anak ke sekolah.
“Jalan utama pula ada pembangunan serentak di mana lori-lori treler turut melalui jalan sama. Keadaan itu mendatangkan bahaya kepada pelajar-pelajar khususnya yang menaiki basikal dan motosikal untuk ke sekolah.
“Setiap hari mereka berdepan risiko dilanggar kenderaan besar di jalan utama yang lebih jauh, sempit dan berbahaya,” katanya ketika membuat bantahan di persimpangan Lembah Jaya Utara, di sini, hari ini.

Jalan alternatif itu menghubungkan beberapa kampung tradisi Melayu melibatkan Kampung Bukit Sungai Putih, Kampung Pinggiran, Kampung Muhibbah dan beberapa kampung lain berdekatan.
Penutupan jalan alternatif itu juga melalui Kampung Tengah di sini di mana sebelum ini dilalui oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan kebangsaan yang terletak di Taman Kosas dan Bukit Indah.
Sulaiman juga mendakwa, penutupan laluan itu menyebabkan masa perjalanan ke sekolah mengambil masa sehingga 40 minit kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan jalan yang masih dalam pembinaan.
“Sekarang ini, setiap pagi, laluan utama akan sesak teruk dan kerap kesesakan berlarutan dari jalan besar ke Bukit Belacan.
“Keadaan ini memaksa pihak sekolah membenarkan para pelajar masuk sekolah selewat-lewatnya jam 8 pagi setiap hari,” katanya.

Susulan bantahan itu, pihaknya juga telah membuat laporan polis terhadap beberapa pemaju projek di sekitar kawasan itu pada Khamis lalu namun sehingga masih tiada jawapan diterima.
Selain itu, katanya lagi, pihak persatuan penduduk turut menyerahkan surat bantahan sama kepada Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya dan Pejabat Parlimen Ampang untuk tindakan lanjut.
“Kita juga telah serahkan surat itu kepada YB Zuraida Kamaruddin dan ahli majlis. Selepas serahan bantahan itu, kami didatangi setiausaha politik YB Zuraida berbincang dengan penduduk kampung.
“Wakil YB Zuraida juga telah menghubungi pihak pemaju mengatakan dalam masa tiga hari minta selesaikan perkara ini. Kami dimaklumkan pegawainya minta jasa baik pemaju untuk buka semula jalan itu,” katanya.

Dalam pada itu, selain penutupan jalan, pihaknya kesal apabila pihak pemaju tidak mematuhi had masa operasi kenderaan berat yang ditetapkan pihak berkuasa untuk memasuki tapak pembinaan iaitu dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
“Kenapa pemaju berdegil sedangkan itu arahan daripada pihak berkuasa tempatan. Saya percaya lori terus beroperasi seawal jam 6 pagi kerana tiada pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Saya sendiri pernah halau jentera berat ini memasuki laluan kampung. Ada pula kes lori treler diletakkan di bahu jalan di mana tiada lampu jalan hingga menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya.
Sulaiman turut berkata, pengabaian keselamatan di sekitar tapak projek pembinaan bukan perkara baru malah telah berlarutan sejak 10 tahun lepas.
“Sebaliknya bila kami mengadu, kami pula diambil tindakan. Sekarang ini kami tak tahu di mana nak mengadu. Bila kami mengadu dengan Pejabat DUN pun, macam tiada apa-apa tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















