KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak merehatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada semua jawatannya dalam kerajaan termasuk sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Jurucakap Pertubuhan Belia Wangsa Maju, Mohd Ali Shariff berkata, langkah itu sewajarnya diambil bagi memudahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Untuk peringkat pertama ini, beliau patut direhatkan dulu, bagi siasatan dalaman berlaku.
“Kalau beliau didapati tidak terlibat dengan perkara ini, kita terima sebagai seorang menteri.
“Kalau beliau didapati terlibat dengan gejala ini, kita harap Dr Mahathir ambil tindakan segera sebab ini menjatuhkan maruah negara kita,” katanya pada sidang media di luar pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Terdahulu Mohd Ali bersama sekumpulan hampir 50 ahli NGO itu membuat perhimpunan aman di luar pekarangan bangunan Parlimen bagi mendesak Mohamed Azmin dipecat daripada Kabinet.
Kumpulan anak muda yang berhimpun itu turut memegang kain rentang dan plakad tertulis mesej ‘Jangan Bebankan Tun Mahathir Dengan Kes Semburit’, ‘Azmin sila letak jawatan’, ‘PDRM Sila Segerakan Siasatan Yang Telus’ dan ‘Azmin Sila Letak Jawatan Jangan Malukan Negara’.

Semalam, badan bukan kerajaan itu juga membuat laporan polis berkenaan video seks di luar tabii yang melibatkan bekas Ketua AMK Cabang, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan pasangannya mirip Mohamed Azmin di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.
Sementara itu, Mohd Ali juga menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin PKR semalam sebagai berat sebelah apabila hanya memecat keanggotaan Haziq sahaja dan tidak kepada Mohamed Azmin.
“Itu yang sepatutnya (pecat Azmin), bila seorang itu sudah mengaku terlibat, mesti ada pasangannya, bila pasangan itu tak dipecat, nampak macam berat sebelah (Lembaga Disiplin).
“Tak kena dengan nama Keadilan sendiri yang sebelum ini menentang perkara ini dulu yang dipanggil al-juburi dan kini semburit pula.
“Perkara ini berlarutan dari 1998 sampai sekarang sudah 2019, jadi minta Dr Mahathir hentikan perkara ini sebab kita tak nak Menteri yang ada dalam Kabinet adalah dalam golongan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















