KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan berhenti main tarik tali, sebaliknya memberi perhatian khusus dan segera dalam kes pencemaran gas beracun di Pasir Gudang, Johor.
Ketua Wirawati, Dr. Asmah Razalli yang berjumpa dengan beberapa mangsa di Pasir Gudang hari ini memaklumkan, kerajaan negeri mahupun pusat seolah memandang ringan kes yang menyebabkan beratus penduduk pengsan akibat terhidu kimia beracun.
Katanya, dari kejadian pertama pada 13 Mac lalu melibatkan pencemaran air Sungai Kim-Kim, berlarutan ke Pasir Gudang pada 21 Jun lalu sehingga seorang murid, Irfan Wafiy Idham Wazir disahkan menghidap penyakit Myokimia.
“Selama empat bulan kes ini berlarutan dan hampir setiap hari penduduk mengadu dan dihantar ke hospital akibat terhidu bahan beracun, kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat boleh memandang ringan kes seumpama ini.
“Hari ini saya bersama Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra datang berjumpa dengan mangsa dan bertanya sendiri apa yang berlaku.
“Rata-rata mereka sedih dan kecewa dengan kerajaan negeri dan pusat kerana tidak ada tindakan tegas diambil, seolah nyawa mereka terlalu murah bagi kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dr. Asmah meminta kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menjawab kepada rakyat berhubung kelewatan bertindak menangani kes berkenaan.
Katanya, dalam tempoh empat bulan kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim ternyata kerajaan masih gagal menanganinya sehingga mencetuskan gelombang kedua pencemaran gas beracun.
Dalam perjumpaan itu, bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir, 49, turut menceritakan beliau dan beberapa mangsa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak terbabit.
Katanya, penduduk di situ yang menjadi mangsa termasuk beliau sekeluarga masih trauma.
“Kami masih trauma dan anak-anak masih lagi mendapat penyakit yang berulang-ulang, tapi tidak ada tindakan diambil. Ingat ada pihak memantau, tapi dah empat bulan, keadaan masih genting.
“Saya telah berbincang kepada yang lain, kami sepakat hendak mengambil tindakan undang-udang, sama ada ke atas orang perseorangan mahupun kerajaan.
“Tindakan ini tidak ada kaitan dengan politik. Ia isu berkaitan keselamatan penduduk,” katanya.
Ujarnya, beliau pada mulanya menyangka ada pihak memantau kejadian itu, tetapi selepas empat bulan berlalu, anaknya, Irfan Wafiy antara yang serius menerima kesan dari pencemaran itu.
“Saya tidak tahu sehingga bila kes ini akan selesai. Mungkinkah berlaku gelombang ketiga, keempat dan kelima baharu kerajaan buka mata untuk bertindak,” katanya. – MalaysiaGazette
















