Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu komited untuk melaksanakan Program Kad Sejahtera seperti dijanjikan dalam manifesto negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14  lalu.

Program itu, menurut Menteri Besarnya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan ‘bantuan subsidi rawatan kesihatan asas’ yang menyasarkan kira-kira 20,000 penerima dari golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar.

Kata beliau, kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM10.9 juta sebagai permulaan melaksanakan program berkenaan.

“Asas pertimbangan utama kerajaan negeri merealisasikan program ini berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan yang menjadi salah satu tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.

“Maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menunjukkan 90 peratus rakyat negeri ini menggunakan perkhidmatan rawatan serta memperolehi ubat-ubatan dari klinik dan hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyatakan, JKNT merekodkan jumlah kehadiran pesakit di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negeri seramai 1,121,917 orang pada tahun 2013.

Ini katanya, diikuti 1,246,557 orang (2014), 1,326,163 orang (2015), 1,451,167 orang (2016), 1,457,682 orang (2017) dan 1,461,879 orang sepanjang tahun lalu.

Program itu, kata beliau, bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin.

Ini sekali gus dapat memperkasa golongan sasar secara berperingkat seterusnya mampu membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan.

“Program ini akan bermula selewatnya Ogos ini dan pemegang Kad Sejahtera layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik kerajaan.

“Peserta akan menerima kad ini melalui pejabat DUN masing-masing dan perlu dikemukakan ketika mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast