Istana Negara memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama Yang Dipertuan Agong (YDPA) bagi menyebar berita palsu.- Gambar hiasan.

Oleh PROF MADYA DR ROHAYU AB. MAJID 

TANGGAL 31 Ogos yang baru sahaja berlalu merupakan tarikh keramat buat rakyat seluruh Malaysia. Perolehan status kemerdekaan yang telah melewati 63 tahun usianya pastinya memberikan seribu makna buat warga Malaysia, tidak kira yang muda maupun tua.

Susulan itu sambutan Hari Malaysia pada 16 September turut diraikan pada setiap tahun bagi  memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang termenteri pada  tahun 1963 bagi menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada ketika itu.

Apa yang pasti susah payah rakyat Malaya berhadapan ranjau duka pada ketika dulunya dalam melepaskan ikatan naungan pihak British terhadap Tanah Malaya bermula sejak tahun 1944 lagi amat berbaloi dan ia terbukti memberikan impak besar ke atas kehidupan hakiki hari ini. Namun begitu perolehan status kemerdekaan yang dijulang ini seringkali dikaitkan dengan perjuangan nasionalisme rakyat semata-mata.

Setelah tamatnya penjajahan Jepun di Tanah Malaya, semangat perjuangan rakyat makin terus membara menuntut kebebasan bersama. Namun dalam memperjuangkan hak ini, mungkin kita sama sekali tidak sedar bahawa Raja- Raja Melayu pada ketika itu merupakan satu entiti yang memainkan peranan yang sangat penting dalam proses memperolehi kemerdekaan.

Penubuhan Malayan Union oleh Kerajaan British yang kononnya mahu memberikan kebebasan bernegara ke atas Tanah Malaya sekitar tahun 1946 pada awalnya mendapat persetujuan raja-raja.

Namun niat sebenar British yang mahu menukar status naungan kepada penjajahan dapat dihidu oleh Datuk Onn. Ketika majlis pertabalan Gavenor Malayan Union, di atas pemakluman Datuk Onn ke atas apa yang dihajati Britih, Raja-Raja Melayu pada ketika itu bersepakat untuk tidak menghadiri majlis pertabalan yang bakal berlansung.

Keengganan Raja-Raja untuk turut serta telah menjejaskan persetujuan asal sekaligus membawa kepada pembubaran Malaya Union pada 21 Jan 1948. Tahun yang sama juga telah menyaksikan  kesepakatan semua raja yang ada dengan penubuhan Majlis Raja-raja bagi menjaga kedaulatan tanah Malaya.

Gerakan politik mula berkembang dengan penubuhan Jawatankuasa antara kaum CLC pada  Januari 1949  dan disusuli dengan pertambahan ahlinya pada ogos 1949. Berlansungnya Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 dan Pilihanraya Umum Tanah Melayu  pada Julai 1955 telah merancakkan lagi semangat pembebasan. Tuntutan lebihan ahli pilihan berbanding ahli lantikan dari pihak British telah mengetengahkan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai pemimpin utama yang membakar semangat kemerdekaan.

Kunjungan Tunku bersama beberapa orang wakil ke London bagi menuntut kemerdekaan daripada pihak British pada Januari 1956 malangnya tidak dilayan British. Justeru sekembalinya Tunku ke tanah air, sekitar Januari sehingga awal Februari 1956 rundingan kemerdekaan mula berjalan bersama seluruh rakyat di tanah Malaya. Rundingan yang direstui Raja-Raja Melayu pada ketika itu seumpama memberi jalan pengharapan ke atas usaha yang dilakukan, selain  memperkemaskan strategi  tuntutan.

Sekali lagi rombongan Tunku Abdul Rahman Putra berkunjung ke London bersama wakil wakil orang besar di tanah Malaya pada 18 Februari 1956. Pertemuan yang diberi nama Persidangan Malaya Merdeka ini telah dibuat di Lancaster House, London. Ketika ini Raja-Raja Melayu telah turut serta dengan menghantar wakil-wakilnya.  Antaranya adalah

  • Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak)
  • Dato’ Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan)
  • Encik Abdul Aziz Majid (wakil Sultan Selangor)
  • Dato’ Mohd. Seth Mohd. Said (wakil Sultan Johor).

Peranan Raja-Raja Melayu amat besar ketika ini apabila sanggup turun padang bersama-sama rakyat jelata dalam usaha menuntut kemerdekaan. Malah Tunku Khursiah salah seorang puteri raja sanggup menggadaikan barang perhiasannya demi menyumbang dana tabungan dalam membiayai rombongan ke London.

Pertemuan kali kedua rombongan Tunku bersama pemerintah tertinggi British akhirnya berjaya membawa rundingan kemerdekaan. Mungkin tidak pernah tersurat di mana-mana penulisan akan perkara utama yang mencetuskan kemenangan rundingan. Namun ingin diperjelaskan disini bahawa kemasukan British ke tanah melayu pada awalnya iaitu sebelum perang duna kedua lagi adalah di atas tiket persetujuan Raja-Raja Melayu. British yang bertapak ditanah melayu pada awalnya diatas dasar perdagangan mula berubah menjadi naungan. Justeru apabila status kebebasan yang dipohon ketika rundingan kemerdekaan, Raja-Raja lah yang menjadi  titik fokus pihak British dalam membuat pertimbangan.

Bertapaknya British di Tanah Malaya pada awalnya di atas rundingan dan kebenaran raja, maka keguguran status naungan ke atas Tanah Malaya hanya diberi kepada Raja-Raja sahaja. Justeru raja-raja lah yang menjadi pemegang kunci utama ke atas proses perolehan kemerdekaan. Dengan kata lain kemerdekaan Tanah Malaya diberi kepada Raja-Raja.

Walau bagaimanapun dalam struktur pemerintahan secara demokrasi berperlembagaan, maka fungsi pemerintahan ini diturunkan kepada para pemimpin dari kalangan rakyat yang telah dipilih oleh rakyat sendiri.

Apa yang perlu dijelaskan di sini peranan Raja-Raja Melayu amat lah penting dalam memartabatkan status kemerdekaan di Tanah Malaya. Ianya menjadi pasak kedaulatan pemerintahan negara selain menjaga keharmonian dan perpaduan pelbagai kaum dan bangsa. Maka Institusi Raja-Raja wajar kita pertahankan bagi memastikan kesinambungan nilai kemerdekaan sebenar

 

Merdeka-merdeka laungan keramat

Makin diulang menjadi azimat

Peranan Raja disebalik keringat

Bersama mendokong impian rakyat

 

Raja Tunggak perpaduan negara

Kasihnya tulus tersemai dijiwa

Memayungi rakyat pelbagai bangsa

Asalkan rakyat hidup terbela

 

Sudah bertahun kita merdeka

Pejuang bangsa dilupa jangan

Pastikan Merdeka ini kebebasan selamanya

Untuk kesejahteraan seluruh watan

 

Prof Madya Dr Rohayu Ab. Majid, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast