KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin minta semua pihak menghormati demokrasi, iaitu parti yang menang banyak kerusi perlu menjadi Ketua Menteri.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, sungguhpun tidak gembira dengan kemenangan yang diperolehi BN, iaitu 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun beliau redha dan terima ketentuan Allah.
“Berhubung jawatan Ketua Menteri, UMNO Sabah telah menghantar cadangan itu kepada Yang di-Pertua Negeri semalam.
“Tetapi, memandangkan BN hanya menang 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) 23 kerusi, kita terpaksa menghormati demokrasi parti yang menang banyak kerusi perlu menjadi Ketua Menteri,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Tengah hari ini, Pengerusi Parti Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor mengesahkan namanya dipilih sebulat suara dari kepimpinan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.
Beliau dijangka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pagi esok.
Menurut Bung Moktar, kekalahan banyak kerusi DUN BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu disebabkan beberapa faktor yang semua pihak tahu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertungkus lumus dari awal kempen dan sentiasa berkomunikasi dengannya dan Naib-Naib Presiden dan serta Setiausaha Agung yang menyokongnya untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sehingga saat akhir.
“Tetapi, saya terpaksa menerima keputusan ini atas permintaan UMNO Sabah.
“Selaku Ketua UMNO Sabah, saya menghormati permintaan mereka, tetapi seperti yang saya kata, kita kena hormati demokrasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















