Husain Awang
Husain Awang

KUALA LUMUR – Beberapa hari ini kecoh di media sosial dengan hashtag (tanda pagar) yang menunjukkan perasaan bangga berada dalam kalangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) sehingga popular di aplikasi Twitter.

Ahli Dewan Negara, Senator Husain Awang berkata, sebagai orang Islam, cubaan menormalisasi perbuatan songsang bertentangan dengan hukum syarak adalah sesuatu yang perlu ditentang keras.

Oleh itu, beliau menyeru umat Islam membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap hantaran atau ciapan yang menyokong pengiktirafan golongan LGBT.

Katanya, aduan secara dalam talian boleh dibuat melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) iaitu di bawah kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Pengguna media sosial menyiarkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Husain, selain aduan kepada pihak berkuasa, #TetapNormal juga boleh disebar-luaskan oleh umat Islam yang menjadi pengguna di aplikasi Twitter sebagai bukti menolak cubaan untuk membudayakan LGBT dalam kalangan rakyat.

“Saya menegaskan, kita menolak semua perbuatan mempromosi LGBT, bukan kerana membenci golongan ini, tetapi tidak boleh membiarkan promosi dilakukan terhadap perbuatan maksiat kepada Allah.

“Mereka perlu disantuni dan dibimbing untuk kembali kepada fitrah, bukan dengan membantu memperjuangkan hak yang tidak diiktiraf oleh Islam dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, normalisasi terhadap agenda mengiktiraf golongan LGBT atas nama hak asasi manusia perlu dikekang daripada terus merebak di negara ini.

Kata beliau, orang Islam berperanan melaksanakan tuntutan amar makruf nahi mungkar sebelum lebih ramai anak muda terjebak dalam perbuatan tidak bermoral itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast