KUALA LUMPUR – Sebanyak 957 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini dan kesemuanya adalah kes tempatan.

Status terkini itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 32,505 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 10,036 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hariannya hari ini berkata, semua kes yang dilaporkan itu merupakan kes penularan Covid-19 dalam negara.

Jumlah itu, katanya, melibatkan Sabah sebanyak 644 kes dengan 97 kes adalah dari kluster sedia ada, manakala 401 kes dari saringan kontak rapat kes positif dan 146 kes lagi daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Selangor merekodkan 225 kes dengan 172 kes dari kluster-kluster, termasuk 16 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Usaha, 39 kes daripada saringan kontak rapat kes positif dan 14 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

“Pulau Pinang pula mencatatkan 23 kes, iaitu 17 kes daripada kluster-kluster, termasuk satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Tembaga; dan enam kes daripada saringan kontak rapat kes positif.

Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 18 kes dengan 13 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan lima kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 kepada media, hari ini.

Beliau turut menyatakan, Terengganu mencatatkan 15 kes, diikuti Sarawak (11 kes), Negeri Sembilan (lapan kes), Perak (lima kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat kes), dan masing-masing satu kes di Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sehingga kini, katanya, terdapat 97 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan merekodkan dua kluster baharu yang telah dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Usaha dan Kluster Tembaga.

Kata beliau, Kluster Usaha itu melibatkan daerah Klang dan Petaling di Selangor dengan kes indeks bagi kluster berkenaan, iaitu kes ke-30,697 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif Covid-19, dengan semua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bagi Kluster Tembaga pula, kata Dr. Noor Hisham, ia melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang.

“Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-29,359 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) pada 28 Oktober lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak enam lagi kes positif. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Sehingga 1 November 2020, jam 12 tengah hari ini, sejumlah 69 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif (satu kes baharu); 13 individu dikesan negatif dan 49 individu masih menunggu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast