KUALA LUMPUR PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka semula semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendaliannya, termasuk di Negeri Sembilan selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di
kawasan dan negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Oleh itu, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan-kawasan tersebut agar terus patuh kepada prosedur standard operasi (SOP) keselamatan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua pihak.
PLUS turut mengingatkan agar pelanggan yang menggunakan surau di lebuh raya supaya mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual
bagi memudahkan urusan pengesanan kontak sekiranya diperlukan.
Selain itu, pelanggan juga dinasihatkan supaya membawa kelengkapan untuk bersolat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga ketika bersolat kerana
kelengkapan tersebut tidak disediakan buat waktu ini. Penanda penjarakan fizikal turut disediakan di setiap ruangan solat di surau serta di kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal 1 meter.
PLUS juga memastikan semua surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.
















