Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bercakap pada media dan menunjukkan kertas bukti selepas membuat laporan polis berhubung isu enam kolam takungan banjir yang telah dijual dan diluluskan untuk tujuan pembangunan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan membuat laporan polis bagi meminta menyiasat pihak bertanggungjawab terhadap memberi pemilikan beberapa bidang tanah di Kuala Lumpur untuk projek pembangunan yang sepatutnya dijadikan kolam takungan banjir.

Mereka adalah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Menurut Fahmi, siasatan perlu dilakukan kerana menyifatkan penjualan tanah itu sebagai satu skandal yang tidak sepatutnya berlaku.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR mempersoalkan, siapa yang terlibat dalam memberi kelulusan pemilikan kolam takungan banjir itu perlu diketahui rakyat.

Lebih mengecewakan kata beliau, persoalan mereka mengenai isu itu sebelum ini tidak diendahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim sebaliknya menganggapnya seperti kelucuan.

“Siasatan perlu dibuat untuk kenal pasti siapa yang terlibat buat keputusan memberi pemilikan kolam-kolam takungan banjir ini

“Berdasarkan Laporan Audit Negara 2019 siri kedua yang telah diterbit dan boleh dimuat turun di laman sesawang Ketua Audit Negara, enam buah kolam takungan banjir telah diberi milik dan ini menimbulkan keresahan penduduk Kuala Lumpur.

“Memandang kita alami banjir besar yang terburuk dalam tempoh 25 tahun, malah setengah kawasan tidak pernah pun banjir sebelum ini.

“Bila kita teliti laporan Audit Negara, agak jelas beberapa keputusan diambil yang tidak ikut dapat agensi teknikal iaitu Jabatan Pengaliran dan Saliran.

”Malah Ketua Pengarah JPS telah beri ulasan agar tanah itu dikekal kawasan rizab takungan banjir,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sentul di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada media selepas membuat laporan polis berhubung isu enam kolam takungan banjir yang telah dijual dan diluluskan untuk tujuan pembangunan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2021.

Dakwanya, enam kolam tadahan di Kuala Lumpur yang telah diasingkan untuk projek pembangunan seperti projek pembangunan bercampur, skim rumah mampu milik, taman rekreasi dan pangsapuri perkhidmatan sejak 2015 hingga tahun lalu.

Enam kolam tadahan yang dimaksudkan ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa.

Pemberi milikan kolam takungan Nanyang, Delima dan Taman Wahyu berlaku pada 9 Oktober 2015 semuanya diperuntukkan untuk projek pembangunan bercampur yang akan dijalankan oleh satu pemaju, diikuti kolam Taman Desa pada 12 Jun 2018.

Kolam Batu 4 1/2 dan Batu pula telah diasingkan pada 5 Ogos dan 2 September 2020.

Sementara itu, Hannah membidas kenyataan Shahidan yang meminta Ahli Parlimen Pakatan Harapan tersebut mencari fakta dahulu sebelum membangkitkan isu itu.

Hannah dari parti DAP berkata, Shahidan yang sebenarnya tidak membaca Laporan Audit Negara itu selama ini.

“Kami memang tidak puas hati dengan maklum balas menteri dan beraksud menteri belum baca Laporan Audit Negara yang merupakan dokumen kerajaan, pandangan Ketua Audit dan dibentang di Parlimen.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu masuk campur dalam isu ini jika serius. Ini kerana bantuan wang tunai tidak cukup jika berlaku banjir lagi dan adakah pemberimilikan kolam takungan banjir itu akan dibatalkan,” katanya.

Hannah sebelum ini turut menggesa Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat pemberimilikan enam kolam takungan banjir itu.

Gesaan itu dibuat selepas Malaysia dilanda banjir besar di beberapa negeri berikutan hujan lebat dan diberi amaran mengenai potensi banjir gelombang kedua. – MalaysiaGazette

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada media selepas membuat laporan polis berhubung isu enam kolam takungan banjir yang telah dijual dan diluluskan untuk tujuan pembangunan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2021.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast