Keadaan banjir di sekitar Segamat. - Gambar hiasan

SEGAMAT – Seramai 456 mangsa daripada 133 keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat ekoran bencana banjir yang bermula sejak malam tadi.

Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APM) Johor berkata, kesemua penduduk yang terjejas ditempatkan di lapan PPS selepas kediaman mereka dinaiki air sehingga paras 1.5 meter.

Dalam bencana itu, seramai 223 mangsa dari Kampung Tenang, Labis antara mangsa banjir tertinggi yang diminta mengosongkan kediaman masing-masing.

Mereka yang terdiri daripada 73 buah keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang yang dibuka bermula jam 8.30 malam tadi.

Sementara itu, PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Ai Chun menempatkan 160 mangsa dari 38 keluarga yang terjejas di Kampung Lembah Bakti, manakala 36 mangsa dari 13 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Serbaguna Pekan Air Panas.

Seramai 15 mangsa dari tiga buah keluarga di Kampung Paya Lebar, Jementah di sini pula berpindah ke PPS balai raya kampung berkenaan selepas rumah mereka dimasuki air akibat hujan lebat sejak petang semalam.

Dalam pada itu, PPS Balai Raya Kampung Sermin dan PPS Dewan Serbaguna Jalan Genuang masing-masing menempatkan enam mangsa dari dua buah keluarga dan 10 lagi mangsa melibatkan empat keluarga berada di PPS Balai Raya Kampung Paya Lenga dan PPS Balai Raya Kampung Gelang Chinchin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast