Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang menolak usul dikemukakan kerajaan di Dewan Rakyat tidak mendatangkan kesan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang itu dalam satu kenyataan malam tadi mendakwa usul tersebut bukan sebahagian daripada MoU yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

”Saya ikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini khususnya terkait usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri berhubung Akta SOSMA walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

”Seperti yang dijelaskan beberapa rakan Ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian dari MoU di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan, dan penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh, serta berjaya menolak usul tersebut.

Pindaan usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi.

Pindaan itu gagal melepasi undi belah bahagi selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast