Khairy Jamaluddin Abu Bakar

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dapat menggunakan inisiatif precision medicine (rawatan bersasar) kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Justeru itu, Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyeru agar sektor swasta memainkan peranan dalam memastikan inisiatif tersebut dapat membantu pesakit kanser di negara ini.

“Tidak mungkin kerajaan dapat berikan perkhidmatan ini untuk semua masyarakat. Ia melibatkan kos yang tinggi dan itu sebab kita memerlukan kerjasama dan inisiatif swasta seperti ini untuk memastikan sebanyak mungkin rakyat negara ini mendapatkan akses kepada ini.

“Sudah pastinya mereka yang tidak mempunyai insurans kesihatan maka kerajaan akan uruskan.

“Tak semua orang mampu precision medicine sebab kita bercakap mengenai segmen yang kecil sahaja,” katanya pada program kolaborasi Precision Medicine antara Pantai Premier Pathology, AZ and Prudential, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin mahu inisiatif ini menerima kerjasama daripada syarikat insurans lain di negara ini.

Jelas beliau, inisiatif ini mampu menyediakan perkhidmatan yang boleh digunakan bagi mendapatkan rawatan kanser terbaik.

“Inisiatif ini juga penting selain Kertas Putih yang akan kerajaan bentangkan bagaimana nak mantapkan perkhidmatan kesihatan negara.

“Kita mahu orang lain untuk kerjasama bersama iaitu syarikat insurans, syarikat farmaseutikal untuk menunjukkan peranan mereka dalam menyediakan perkhihdmatan yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, dianggarkan 49,000 rakyat negara ini didiagnosis dengan kanser pada 2020 dan ia dijangka meningkat kepada lebih 66,000 orang setiap tahun menjelang 2030.

Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2012-2016 menunjukkan bahawa penghidap kanser paru-paru dan hati mempunyai kadar survival relatif lima tahun masing-masing hanya 11 dan 12.8 peratus.

“Kebanyakannya hanya didiagnosis pada peringkat tiga dan empat.

“Peratusan kes yang dikesan dalam Peringkat tiga dan empat meningkat daripada 58.7% kepada 63.7% dalam tempoh 2012 hingga 2016,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu, diagnosis lewat akan menyebabkan penyakit cepat merebak dan semakin sukar dirawat.

“Ini bermakna lebih sedikit orang akan terselamat daripada kanser,” ujar beliau.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast