KUALA LUMPUR – Mahkamah Perlembagaan Sepanyol meno;ak rayuan sekumpulan individu yang mendakwa waris kesultanan Sulu berkaitan pembatalan pelantikan Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara untuk kes pertikaian antara kerajaan Malaysia dan Sulu.
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah menerima pengesahan berhubung keputusan rayuan itu.
Katanya, mahkamah menolak rayuan itu kerana mereka telah menarik semula tuntutan untuk melantik seorang penimbang tara berikutan keputusan pembatalan itu.
“Mereka secara sukarela meninggalkan prosiding yang menjadi asas untuk rayuan perlembagaan mereka.
“Hasil daripada pembatalan kehakiman beliau di Sepanyol, beliau tidak lagi mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai penimbang tara dan harus segera menamatkan prosiding timbang tara yang dikatakan.
“Keputusan ini juga bukti dasar kerajaan dalam bersungguh-sungguh mempertahan Malaysia di setiap mahkamah dan forum, menggunakan semua kuasa, hak dan sumber bagi memastikan kepentingan negara, kekebalan kedaulatan dilindungi setiap masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini Gonzalo yang bertindak sebagai penimbang tara mengarahkan kerajaan Malaysia membayar AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu.
Penimbang tara itu memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kesultanan Sulu di Filipina dengan wakil Syarikat British Borneo Utara yang mentadbir Sabah ketika itu.
Bagaimanapun Malaysia telah menghentikan pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris kesultanan Sulu sejak 2013 selepas pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah. – MalaysiaGazette
















