KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberi sebarang kelulusan kepada penjaja yang memenuhi ruang hadapan Pasar Raya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow Kit).
Malah, DBKL juga tidak menerima permohonan lesen daripada mereka.
DBKL berkata, bangunan yang terletak di No. 483, Jalan Tuanku Abdul Rahman bersebelahan Arked Bazar Sudirman ini dahulunya dikenali dengan Bazar Uda Ocean (UO) dan telah diambilalih oleh syarikat AJ Best sejak April 2019.
Terdapat seramai 13 orang penjaja yang menjalankan perniagaan di dalam bangunan pasaraya ini namun terpaksa keluar disebabkan kerja-kerja baik pulih yang hendak dilaksanakan oleh pemilik baharu bangunan tersebut (AJ Best).
Menurutnya, penjaja-penjaja ini terpaksa membuat penempatan sementara di hadapan premis tersebut (siarkaki luar bangunan) setelah menerima notis penutupan bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan.
“Mereka juga telah ditawarkan untuk memasuki semula bangunan tersebut setelah selesai kerja baikpulih. Walau bagaimanpun, penjaja-penjaja ini enggan memasuki semula biarpun kerja baik pulih telah siap sepenuhnya seningga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
DBKL mengulas sebuah video yang tular menerusi laman TikTok oleh Pengerusi Persatuan Hak Masyarakat Malaysia menggesa DBKL mengambil tindakan ke atas perniagaan warga asing tanpa lesen
yang memenuhi ruang hadapan Pasar Raya AJ Best.
MalaysiaGazette difahamkan, penjaja-penjaga yang berniaga di situ adalah warga tempatan.
“DBKL pada Ogos 2019 telah menjalankan bancian terhadap penjaja-penjaja ini dan merekodkan seramai 31 orang penjaja menjalankan aktiviti di situ.
Jelasnya lagi, penjaja-penjaja ini tidak terlibat dalam pemindahan ke bangunan baru Pasar Raja Bot yang masih dalam proses pembinaan.
Begitupun, DBKL sedang mengenalpasti status terkini bilangan penjaja di lokasi tersebut dan akan melesenkan penjaja-penjaja yang layak untuk ditempatkan di lokasi yang bersesuaian.
Namun, dalam TikTok awal oleh presiden persatuan tersebut mendakwa kenyataan itu dibuat selepas mendapat aduan daripada peniaga sekitar Chow Kit dan pemilik pasar raya berkenaan.
Menurut Mustafa Khan, antara aduan ialah ada warga asing yang membuka gerai di situ.
Masalah itu, dakwanya sudah berlarutan sejak lima tahun lalu namun tiada tindakan diambil. – MalaysiaGazette















