Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melahirkan rasa gusar terhadap pihak yang dahulunya lantang mengenai isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) kini bersikap mendiamkan diri.

Beliau mempersoalkan mengapa pihak tersebut mengambil pendirian untuk tidak bersuara selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tamat.

“Sebelum PRU15 ada yang kata skandal LCS ni mirip 1MDB. Siap ada yang kata skandal ini lebih parah dari 1MDB. Mengapa pula kita berdiam diri selepas PRU15?

“Duit rakyat sudah diseleweng. Dulu kontrak asal RM9bilion. Kini ditambah lagi RM2.2 bilion. Mana suara suara yang lantang dahulu? Mana keadilan untuk rakyat?” ciap beliau di Twitter.

Dalam ciapan itu Presiden MUDA tersebut turut berkongsi sebuah klip video berdurasi kurang dua minit yang meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak takut untuk bertindak.

Malah Syed Saddiq juga mengingatkan pihak berkenaan bahawa ‘reformasi’ tidak boleh dilakukan mengikut musim.

“Dulu pung-pang-pung-pang kata nak tangkap, siasat jerung besar LCS. Rakyat turun ke jalanan, rakyat bermandi peluh dan hujan, rakyat naik turun mahkamah, kena siasat. Sekarang apa updatenya?

“Wahai sahabat-sahabatku di SPRM jangan takut dengan tangan pencatur kuasa, berani kerana benar. Rakyat berhak tahu. Kami desak accountability and transparency.

“Kawan-kawan, reformasi tidak boleh bermusim, ia tidak kisah siapapun yang menduduki tahta kuasa,” kata beliau.

Syed Saddiq berkata, penjelasan perlu diberikan kerana kos projek LCS kini mencecah RM11.2 bilion.

“Dah RM6 bilion dibelanjakan satu kapal pun tak sampai. Berbilion-bilion telah dibelanjakan tetapi lebih mengecewakan kerana rasuah rakyat kena tambah lagi RM2 bilion. Total RM11.2 bilion duit cukai anda semua.

“Yang lebih menjengkelkan kapal dari enam jadi lima. Kos naik, kapal berkurangan. Barang tak sampai-sampai. Pelik bin ajaib.

“Kalau ikut perancangan asal sepatutnya kita dah terima enam-enam kapal bulan depan. Tapi kita dapat ‘telur’. Ini soal kedaulatan negara, soal keselamatan rakyat. Duit kita semua,” tambah Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu dilaporkan telah menghantar usul tergempar berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk dibahas pada sidang Dewan Rakyat yang bersidang semula hari ini.

Beliau berkata, usul itu dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Jumaat lalu.

Usul itu turut menyentuh mengenai situasi sehingga kini yang masih belum ada pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, selain kerajaan perlu bersifat telus jika terdapat salah laku atau penyalahgunaan dana sepanjang projek tersebut berjalan.-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast