Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Pelaut Peringkat Kebangsaan 2023 di Hote Marina, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 25 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Tony Pua tidak akan disenaraikan sebagai calon Kerajaan Perpaduan daripada DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana Tony Pua sendiri tidak menunjukkan minat untuk mempertahankan kerusi Parlimen sebelum ini.

“Dia tak ada masalah minat, Kawasan Parlimen sendiri dia dah mengalah, dia bukan berminat nak bertanding.

“Tidak timbul soal Tony Pua akan bertanding, Tony Pua tidak akan bertanding.

“Kita tak ada niat nak nak calonkan dia, malah dia sendiri tak berminat, dia pun sudah serahkan kerusi Parlimen (Damansara),” katanya pada sidang media di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Sambutan Hari Pelaut Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran Jabatan Laut Malaysia.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak DAP agar tidak meletakkan Tony Pua sebagai calon dalam PRN akan datang jika mahu keharmonian gabungan Kerajaan Perpaduan berkekalan.

Asyraf berkata, walaupun Tony Pua bukan lagi pimpinan DAP, tapi ucapannya yang menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘pakatan ‘korup’ bagaikan ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

Jumaat lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan secara rasmi setelah mendapat perkenan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah, Isnin lalu.

Selain itu, DUN Kelantan juga sudah dibubarkan pada Khamis lalu, sementara DUN Pulau Pinang dan DUN Kedah pula akan dibubarkan pada Rabu depan.

Bagi Terengganu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon pembubaran Dun minggu depan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRN di enam negeri terbabit dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast