Norhisham Syed

MELAKA – “Pagi semalam, anak saya terdengar jiran kami dalam keadaan tergesa-gesa meminta teman wanitanya segera membawa anaknya ke hospital kerana sudah hampir mati.”

Itu cerita jiran kepada suspek kes bunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di sini yang dipercayai dibelasah sehingga mati oleh teman lelaki ibunya semalam.

Norhisham Syed, 53, berkata, sebelum ini, dia pernah beberapa kali terlihat jirannya itu membawa bersama teman wanitanya itu dan anaknya ke rumah berkenaan.

“Pernah juga beberapa kali saya menegur tindakannya itu yang berada berdua di rumah berkenaan selepas ibu dan ayahnya sudah tidak lagi tinggal di situ.

“Selepas itu, saya sudah tidak lagi melihat mereka berdua kecuali kali terakhir dua hari lalu wanita itu ada menghantar anaknya ke situ namun tiada sebarang kejadian berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang ibu tunggal dan kekasihnya direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh anak lelakinya itu di sebuah rumah di Cheng awal pagi semalam.

Perintah reman sehingga 13 Julai ini terhadap wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya, 25, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, sebelum kejadian, ibu kandung mangsa menghantar anaknya itu ke rumah teman lelakinya yang bekerja sendiri pada pukul 5.30 pagi semalam untuk berubat selepas kerap  muntah-muntah.

Bagaimanapun, kira-kira 40 minit kemudian, teman lelakinya menghubungi kekasihnya memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri akibat terjatuh sebelum kedua-dua mereka membawanya ke Hospital Melaka.

Hasil siasatan awal mendapat, lelaki berkenaan mengaku bertindak menendang dan menekan perut mangsa berkali-kali secara agresif selepas mangsa muntah di atas sofa kesayangannya.

Suspek turut mengaku menekan perut mangsa secara agresif berkali-kali selain menendang sehingga kepala mangsa terhantuk ke lantai mengakibatkan tengkorak dan organ dalam perut mangsa pecah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Belasah anak 3 tahun hingga mati, pasangan kekasih direman 7 hari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast