Ahmad Zahid Hamidi

KUALA SELANGOR – Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Literasi Kewangan sebagai modul khas di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diperkenalkan semula kepada generasi baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi mengekang generasi muda khususnya pelajar institut pengajian tinggi (IPT) terjerumus ke dalam kancah kebankrapan sebelum memasuki dunia pekerjaan.

“Saya ingin menyarankan agar kursus khas atau modul Literasi Kewangan dimasukkan ke dalam PLKN 3.0 bagi menghadapi cabaran mendatang.

“Generasi baharu di negara kita dan di seluruh dunia terkekang dengan permasalahan dengan pembelian dalam talian, penawaran kad kredit dan juga pembelian tanpa menggunakan kewangan secara wang tunai.

“Beberapa pendekatan mesti dilakukan agar kadar kebankrapan dan insolvensi dapat ditangani di peringkat awal,” katanya pada sidang media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan majlis penutupan Konvensyen Literasi Kewangan Belia Kebangsaan 2023.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.

Tambah Ahmad Zahid, jika tiada usaha dibuat lebih awal, dikhuatiri golongan muda akan berdepan dengan masalah kebankrapan sebelum menjadi sebahagian daripada guna tenaga di negara ini.

“Jika ini tidak dibuat, maka dikhuatiri sebelum masuk ke pasaran guna tenaga atau era pekerjaan, mereka terlebih dahulu mempunyai gaya keberhutangan yang tinggi dan ini sangat tidak sihat,” katanya.

Selain PLKN, modul Literasi Kewangan itu juga perlu diperkenalkan bukan sahaja kepada peserta PLKN, bahkan pelajar IPT dan Program latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga didedahkan dengan pengurusan kewangan itu.

“”Kini terdapat 1,334 institusi TVET, saya akan turut menekankan tentang soal Literasi Kewangan agar dimasukkan sebagai salah sebuah modul yang penting,” katanya.

Bagi tujuan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pertahanan perlu mempersiapkan modul Literasi Kewangan kepada generasi baharu ini sebelum menamatkan kursus dan pengajian masing-masing.

“Kementerian harus mempunyai kesediaan kursus-kursus ini bagi melakukan mitigasi agar lepasan daripada kursus, institut, TVET dan kursus kepimpinan di IPTA, IPTS dan kolej lain mempunyai daya tahan permasalah kewangan.

“Sistem penawaran kewangan baharu agar mitigasi ini dapat dilakukan dengan kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast